Selasa, 4 September 2018 | 4:19pm
KOPERAL Mohd Iqwan kini digelar ‘Abang Polis Sado’. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Abang Polis Sado

KOTA BHARU: Keinginan untuk naik pangkat melonjak semangat seorang anggota polis di sini, untuk memastikan bentuk badannya tampil seimbang.

Koperal Mohd Iqwan Bashir Zulkifli, 32, yang kini digelar ‘Abang Polis Sado’, berkata semuanya bermula dengan saranan bekas Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, supaya anggota polis menjaga Indeks Jisim Tubuh (BMI) ideal bagi kenaikan pangkat.

Berikutan itu, katanya, pada awal tahun 2016, beliau tekad untuk menjaga keseimbangan berat badan dengan menyertai sukan bina badan, selain mengamalkan diet pemakanan yang sihat.

“Saya mula terbabit dalam dunia bina badan ini dua tahun lalu apabila pihak pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan BMI yang perlu dipatuhi semua anggota untuk kenaikan pangkat.

“Ketika itu berat saya hampir 100 kilogram (kg) dan selepas menerima memo arahan terbabit, mula terdetik dalam hati untuk melakukan transformasi habis-habisan demi karier sebagai anggota polis.

“Bermula 1 Januari 2016, saya sentiasa ke gimnasium untuk bersenam bagi menurunkan berat badan. Sehingga kini, tidak pernah berhenti, malah semangat itu membawa saya membabitkan diri dalam sukan bina badan,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Iqwan yang berkhidmat di Balai Polis Kota Bharu dalam Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berkata, beliau mengambil masa dua tahun bagi membentuk badan yang sasa dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Berat badan terkini saya 72 kg berbanding 100 kg sebelum ini. Saya pernah mencapai berat 57 kg ketika menyertai Kejohanan Badan Mr Cantik Kelantan pada 2016,” katanya.

“Untuk menjaga berat badan, perkara paling utama adalah jaga pemakanan. Oleh itu, sejak dua tahun lalu, saya amat menitikberatkan soal pemakanan selain bersenam,” katanya.

Anak kelahiran Tumpat itu turut berkongsi kejayaannya ketika mengharumkan pasukan PDRM dalam kejohanan sukan bina badan.

Katanya, beliau pernah menyertai lima kejohanan peringkat negeri sejak 2016 dan akan menyertai kejohanan di peringkat Asia, pada Oktober dan November tahun ini.

“Saya merangkul naib johan pada Kejohanan Badan Mr Malaysia, Ogos lalu.

“Sasaran selepas ini, saya mahu mempersiapkan diri untuk menyertai dua kejohanan Asia iaitu Mr Act Open Asia di Kuala Lumpur pada 29 Oktober dan di Bangkok Thailand, pada 4 November bagi mewakili PDRM,” katanya.

Berita Harian X