Selasa, 4 September 2018 | 5:26pm
MUSTAFFA Kamal Shamsudin (kiri) menunjukkan beberapa contoh lukisan mural di lorong belakang yang terdapat di Jalan Abdullah, Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria
MUSTAFFA Kamal Shamsudin (kiri) menunjukkan beberapa contoh lukisan mural di lorong belakang yang terdapat di Jalan Abdullah, Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria

`Back To Back Lane' ubah lorong belakang

MUAR: Program ‘Back To Back Lane’ bakal mengubah lorong belakang di daerah ini yang dipandang negatif, menjadi kawasan baharu yang menarik untuk kunjungan penduduk dan pelancong.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Mustaffa Kamal Shamsudin, berkata menerusi program itu, lukisan mural akan dipaparkan di lorong belakang Jalan Maharani hingga ke Jalan Ali, untuk dilihat lebih positif, ceria dan bersih.

Katanya, bertemakan ‘Tuanku Payung Negeri’, lukisan mural itu akan mempamerkan sejarah kesultanan Johor dan sejarah bandar ini serta potensinya.

“Kita tidak mahu lukisan muralnya sahaja tetapi ia mesti disertakan dengan maklumat pengkisahannya. Caranya ialah dengan menggunakan ‘Quick Respone Code’ atau QR Code.

“Menerusi QR Code, pengunjung dengan hanya menggunakan telefon pintar akan mendapat pelbagai maklumat mengenainya.

“Ia secara tidak langsung akan memberi nilai tambah kepada usaha ini dan pada masa sama, hasrat untuk meremajakan bandar ini akan dicapai,” katanya pada sidang media selepas melawat lorong belakang sekitar bandar ini di sini, hari ini.

Mustaffa Kamal berkata, bagi menjadikan lorong belakang lebih menarik, pihaknya bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk menyediakan kemudahan QR Code.

Selain itu, katanya, beberapa kemudahan seperti sistem pencahayaan, kamera litar tertutup (CCTV) dan laluan yang lebih selamat akan dilaksanakan.

Katanya, MPM kini dalam proses mendapatkan kebenaran pemilik kedai dan bangunan di sini untuk memastikan program berjalan lancar.

Berita Harian X