Selasa, 11 September 2018 | 2:38pm

AP bauksit terhad untuk kosongkan stok

KUANTAN: Kerajaan hanya mengeluarkan lesen eksport (AP) bauksit terhad bagi mengosongkan stok penyimpanan untuk mengelak hakisan sebelum ketibaan musim tengkujuh tidak lama lagi, dan bukannya untuk melombong dan mengeluarkan bahan mineral itu.


AHLI Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh. - Arkib NSTP

Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh, berkata stok bauksit di Pelabuhan Kuantan itu perlu dikosongkan secepat mungkin sebelum musim tengkujuh yang kebiasaannya bermula November hingga Mac di Pantai Timur Semenanjung.

“Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli memang keluarkan AP bauksit tetapi ia terhad untuk pengosongan stok penyimpanan bauksit bukan untuk tujuan lain melombong atau mengorek keluar bahan mineral itu.

“Jadi, kita minta kerajaan negeri supaya bertindak tegas dan tingkatkan penguatkuasaan jabatan serta agensi berkaitan supaya tiada perlombongan haram dilakukan sepanjang tempoh moratorium sehingga 31 Disember ini.

“Tumpuan kerajaan masih mengutamakan pemeliharaan alam sekitar serta kepentingan rakyat dan kerajaan negeri perlu mengambil tindakan jika mendapati ada unsur penyalahgunaan AP,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Fuziah mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, bahawa kerajaan bersetuju mengeluarkan AP dalam tempoh munasabah kepada syarikat yang terbabit untuk mengosongkan stok bauksit yang berada di Pelabuhan Kuantan.


KERAJAAN hanya mengeluarkan lesen eksport (AP) bauksit terhad bagi mengosongkan stok penyimpanan untuk mengelak hakisan. - Arkib NSTP

Keputusan mengeluarkan AP pengosongan stok penyimpanan bauksit dicapai hasil sesi dengan beberapa pihak termasuk penggiat industri perlombongan bauksit serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Malah, Xavier juga berkata, tiada AP akan dikeluarkan kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi tempoh moratorium berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini, serta satu pasukan khas akan diwujudkan bagi menyediakan SOP baharu berhubung perlombongan, pengangkutan, pengurusan simpanan stok dan eksport bauksit.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Sekitar Malaysia, Nor Jehan Bakar berkata, pihaknya bersetuju dengan langkah kerajaan memberi AP bagi menghabiskan stok simpanan bauksit.

Bagaimanapun katanya, AP yang diberikan perlu disertakan dengan syarat yang ketat mengenai cara pengendalian bauksit itu dibawa ke Pelabuhan Kuantan.

“Saya syor penerima AP perlu meletakkan bon pematuhan sebanyak RM500,000 sebagai deposit yang boleh digunakan untuk tujuan pembersihan sekiranya berlaku pencemaran atau tumpahan bauksit (ke jalan raya).

“Masyarakat harus tahu sebelum ini usaha pembersihan kesan pencemaran bauksit ini dilakukan menggunakan wang rakyat,” katanya.

Berita Harian X