Selasa, 11 September 2018 | 4:50pm
MENTERI Besar Johor, Datuk Osman Sapian menyampaikan plak, sijil dan replika cek kepada tokoh Maal Hijrah 2018/1440H Negeri Johor iaitu Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Johor, Mohd As'ari Tibek (kanan) pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 20018/1440 Hijrah di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Umat Islam perlu hijrah ekonomi

JOHOR BAHRU: Umat Islam di negeri ini disaran melakukan hijrah ekonomi kerana kekuatan aspek itu akan memastikan penganutnya bertambah kuat.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata hijrah itu bagaimanapun perlu diseimbangkan di antara kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri akan memperkasa sistem pendidikan Islam Johor untuk melahirkan modal insan berilmu tinggi, berakhlak mulia dan berkait rapat dengan ekonomi.

“Ia antara yang terkandung dalam teras kelima Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 dan kami mahu penghijrahan umat Islam bukan sahaja dilakukan untuk kehidupan lebih baik, malah aspek ekonomi umat Islam sendiri.

“Kekuatan ekonomi mempunyai pengaruh dalam kelangsungan umat dan Islam. Jika kekuatan ekonomi mula rapuh, pengaruh dan daya tahan umat Islam akan menurun.

“Melihat keadaan ini, kami (kerajaan Johor) akan terus memperkasa sistem Pendidikan Islam, modal insan dan warisan budaya yang berkait rapat dengan ekonomi,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Maal Hijrah 2018 Johor di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor (PIIJ), di sini, hari ini.

Osman berkata, walaupun mementingkan kemajuan ekonomi, ia tidak sepatutnya tertumpu kepada keuntungan material sehingga sanggup mengambil hak orang lain atau menggadaikan kedaulatan negara.

Katanya, pengukuhan ekonomi perlu diseimbangkan di antara dimensi kehidupan duniawi dan kehidupan ukhrawi, menjadikan kesilapan lalu sebagai semangat untuk mencapai kejayaan serta menunaikan amanah dengan lebih baik.

“Tema sambutan Maal Hijrah tahun ini, ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ sesuai dengan saranan Allah supaya manusia yang diciptakan pelbagai suku, kaum dan puak hidup harmoni dan bertoleransi di antara satu sama lain.

“Tema ini juga bersesuaian dengan konsep Rahmatan Lil Alamin dalam ajaran Nabi Muhamad SAW yang diamalkan di negara ini.

“Konsep ini secara ringkasnya bermaksud hidayah, kebaikan dan keadilan merangkumi seluruh alam dan kita di Johor sudah mengamalkannya bagi menterjemah visi ‘Negeri Berprestasi Tinggi, Bangsa Johor Bestari’,” katanya.

Berita Harian X