Selasa, 18 September 2018 | 5:02pm
Pensyarah Sains Politik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Arnold Puyok. - Foto Surianie Mohd Hanif

Definisi status rakan sekutu perlu jelas

KOTA KINABALU: Perlu ada definisi yang jelas mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu di Malaysia, kata seorang penganalisis politik di sini.

Pensyarah Sains Politik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Arnold Puyok, berkata fakta penting itu perlu dijelaskan dan digariskan terlebih dahulu.

“Apakah yang maksud beliau (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) sebagai ‘rakan sekutu’? Adakah lebih berdikari? Atau akan mempunyai Perdana Menteri atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri?

“Definisi dan konsep harus diperjelas sebelum ia (rang undang-undang) dibahaskan di Parlimen,” katanya ketika dihubungi NSTP, sambil menegaskan ia masih bersifat subjektif walaupun merujuk kepada perkara dalam MA63.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Dr Mahathir pada sambutan Hari Malaysia, Ahad lalu, bahawa kerajaan akan mengembalikan status `rakan sekutu’ kepada Sabah dan Sarawak, berbanding negeri dalam Malaysia.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, penukaran status Sabah dan Sarawak, daripada rakan sekutu kepada negeri dalam Malaysia sebelum ini dan pengembalian status itu sebahagian proses akan dilaksanakan selepas kajian Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disiapkan.

Arnold berkata, pindaan Perlembagaan pada masa depan akan membabitkan penstrukturan semula sistem persekutuan secara besar-besaran tetapi memerlukan masa untuk dilaksanakan.

“Merujuk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1976, yang mana Sabah dan Sarawak dianggap sebagai negeri ke-13 dan ke-14, (pindaan) tidak mengurangkan kuasa kedua-dua negeri.

“Namun ini masih tidak mencukupi kerana Sabah dan Sarawak perlu menyusun semula kedudukan mereka dalam Perlembagaan,” katanya.

Arnold menegaskan penurunan kuasa serta tiada pertindihan kuasa di antara agensi persekutuan dan negeri, adalah antara dua perkara penting yang perlu dicapai sebagai rakan sekutu dan memastikan Sabah dan Sarawak dapat menentukan pembangunannya sendiri.

“Kedua-duanya (penurunan kuasa dan tiada pertindihan kuasa), bagaimanapun, dapat dilakukan di peringkat pentadbiran tertinggi tanpa perlu meminda Perlembagaan,” katanya.

Berita Harian X