Rabu, 19 September 2018 | 10:33am
SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dinobatkan sebagai juara bagi kategori sekolah menengah.
SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dinobatkan sebagai juara bagi kategori sekolah menengah.

SK Convent (2) Bukit Nanas, SMK Aminuddin Baki hebat

KUALA LUMPUR: Sekolah Kebangsaan (SK) Convent (2) Bukit Nanas, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur masing-masing dinobatkan sebagai juara kategori sekolah rendah dan sekolah menengah pada pertandingan akhir Choral Speaking Bank Rakyat di Esplanade, Suria KLCC, baru-baru ini.

Sekolah Kebangsaan Convent (2) Bukit Nanas memperlihatkan persembahan yang cukup menarik, sekali gus berjaya memenangi baucar Akaun Simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM5,000 bagi kategori sekolah rendah.

Dalam persaingan yang membabitkan penyertaan dari lima buah sekolah rendah itu, tempat kedua bagi kategori ini disandang oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Jaya manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ST Joseph, Papar menduduki tempat ketiga.

Kedua-dua pasukan berkenaan turut membawa pulang baucar Akaun Simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM3,000 dan RM2,000.

SEKOLAH Kebangsaan Convent (2) Bukit Nanas, Kuala Lumpur muncul sebagai juara Pertandingan Choral Speaking Bank Rakyat dan berjaya memenangi baucar Akaun Simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM5,000 bagi kategori sekolah rendah.
SEKOLAH Kebangsaan Convent (2) Bukit Nanas, Kuala Lumpur muncul sebagai juara Pertandingan Choral Speaking Bank Rakyat dan berjaya memenangi baucar Akaun Simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM5,000 bagi kategori sekolah rendah.

Turut serta dalam pusingan akhir bagi kategori sekolah rendah ialah SK Jalan 3 Bandar Baru Bangi, Selangor dan SK Pasir Gudang 4, Johor.

Sementara itu, SMK Aminuddin Baki turut membawa pulang baucar Akaun Simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM5,000 selepas menewaskan empat pasukan yang lain bagi kategori sekolah menengah.

Pasukan Sekolah Memengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur menduduki tempat kedua sekali gus meraih hadiah baucar Akaun Simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM3,000 manakala, tempat ketiga dimenangi oleh SMK Permatang Bonglai, Jitra, untuk membawa pulang baucar Akaun Simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM2,000.

Turut serta bagi kategori sekolah menengah dalam pusingan akhir ini ialah SMK Dato’ Abd Rahman Yassin, Johor dan SMK Taman Scientex, Johor Bahru.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, berkata sepanjang penyertaan dibuka sejak 20 Julai sehingga 28 Ogos 2018, pihaknya menerima sambutan yang menggalakkan dari 88 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara yang membabitkan penyertaan seramai 1,848 pelajar.

Katanya, pemilihan pasukan yang layak ke peringkat akhir dinilai menerusi video berdurasi tidak lebih lima minit dengan bertemakan ‘Young and Proud Malaysians’ bagi kategori sekolah rendah dan ‘Innovation and Sustainable Malaysia’ bagi kategori sekolah menengah.

“Pertandingan ini merupakan inisiatif Kelab Nuri Bank Rakyat bersempena Hari Malaysia bagi menyemarakkan semangat ‘Sayangi Malaysiaku’ dalam kalangan generasi muda serta pada masa yang sama memperkasakan tahap penguasaan bahasa Inggeris dan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar,” katanya.

Sementara itu, pemenang bagi kategori Video Paling Popular dimenangi oleh SJKC ST Joseph dengan 1,151 undian dan Video Paling Banyak Dikongsi dimenangi SMK Dato’ Abd Rahman Yassin dengan jumlah kongsian sebanyak 18,438 di media sosial dan kedua-dua pasukan terbabit membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000.

Pertandingan akhir bagi setiap kategori diadili oleh tiga orang juri profesional dari Petrosains, Kementerian Pendidikan serta pensyarah dari Taylor’s International School.

Berita Harian X