Khamis, 20 September 2018 | 2:43pm
Hospital Miri.

Projek naik taraf Hospital Miri perlu diteruskan

MIRI: Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu mempertimbangkan semula peruntukan menaik taraf Hospital Miri bernilai RM350 juta yang pernah diumumkan sebelum ini.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, berkata projek itu perlu disegerakan berikutan kemudahan sedia ada tidak lagi bersesuaian dengan perkembangan semasa, khususnya dalam menangani masalah kesesakan pesakit.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menjelaskan populasi penduduk di Bandaraya Miri yang meningkat kebelakangan ini memerlukan hospital itu dinaik taraf.

Katanya, ini termasuk bagi menampung keperluan kemudahan kesihatan untuk kawasan pedalaman dan luar bandar berhampiran.

“Kerajaan Persekutuan perlu memberi keutamaan terhadap projek menaik taraf Hospital Miri. Kita tidak boleh biarkan hospital ini terus sesak dengan pesakit, sebaliknya faktor keselesaan perlu diambil kira.

GAMBAR fail, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin. - Foto NSTP

“Tidak kira siapa yang memerintah, keutamaan harus diberikan terhadap usaha menyediakan kemudahan untuk rakyat negeri ini,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Senadin, di sini, hari ini.

Kim Shin berkata, Bandar Baharu Permyjaya turut memerlukan kemudahan klinik kesihatan baharu bagi mengelak kebergantungan Klinik Kesihatan Tudan yang juga berdepan masalah sama.

Beliau mendedahkan ketika ini hampir setiap hari klinik berkenaan menerima purata 700 pesakit, dengan jumlah itu meningkat kepada 900 hingga 1,000 pesakit pada waktu puncak, termasuk bagi mendapatkan rawatan pergigian.

“Kita tidak dapat memperluaskan saiz klinik sedia ada kerana keluasan tanah tidak mencukupi dan yang tinggal hanya untuk tempat letak kenderaan. Ia menyediakan rawatan kepada kira-kira 80,000 penduduk Tudan, Senadin dan Kuala Baram.

“Bahkan, pesakit dari Permy Jaya dan Pujut turut mendapatkan rawatan di klinik sama, menjadikannya amat sesak pada setiap masa. Justeru, adalah wajar kita menyediakan sebuah lagi klinik di Permyjaya untuk menampung keperluan,” katanya.

Berita Harian X