Jumaat, 21 September 2018 | 2:42pm
DATUK Seri Mohd Shafie Apdal ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tabung Pendidikan Bantuan One-Off Yayasan Sabah di Auditorium Tun Ahmad Rafae, Yayasan Sabah. - Foto Lano Lan

Sabah tegas pelihara keselamatan negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana anasir luar yang cuba membolosi perairan dan sempadan negara ini.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri sentiasa terjamin.

“Kita tidak akan bertolak ansur dalam menjaga keselamatan negeri dan sempadan negara. Kita akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tidak baik,” katanya kepada media selepas melancarkan Bantuan Pendidikan ‘One-Off’ Yayasan Sabah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob; Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul dan Pengarah Yayasan Sabah, Jamalul Kiram Mohd Zakaria.

Mohd Shafie mengulas mengenai kes dua lelaki disyaki tali barut kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak berhampiran Pulau Boheyan, malam tadi.

Terdahulu, Mohd Shafie meminta Yayasan Sabah mewujudkan sebuah terminal makanan di Tawau dalam usaha meningkatkan hasil pertanian di negeri ini yang mempunyai tanah begitu luas untuk diusahakan.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata langkah itu bukan hanya menyediakan bekalan makanan mencukupi, khususnya buah-buahan untuk keperluan dalam negeri, malah boleh dieksport ke luar negara.

“Ini kerana kita menyedari hakikat pasaran hari ini bukan hanya berkaitan perikanan, malah kita ada tanah yang luas, subur dan membolehkan penanaman buah-buahan yang khusus sahaja, agar kualitinya baik sekali gus mendapat pasaran di luar negara.

“Ini memerlukan satu kawasan yang luas dan kesannya besar untuk memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah,” katanya.

Dalam ucapannya, Mohd Shafie meminta pelajar yang menerima bantuan pendidikan daripada Yayasan Sabah agar memanfaatkannya untuk kegunaan melanjutkan pengajian, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga.

“Kita akan pastikan semua rakyat tanpa mengira dari daerah mana dan kaum di Sabah akan mendapat bantuan ini. Saya mahu rakyat menerima manfaat daripada hasil yang ada di negeri ini,” katanya.

Seramai 1,302 pelajar menerima bantuan pendidikan sekali gus hari ini daripada keseluruhan 5,000 penerima, iaitu RM1,000 kepada pelajar yang menuntut di Sabah manakala RM2,000 di luar Sabah.

Berita Harian X