Sabtu, 22 September 2018 | 12:48pm
JIMMY Puah (tengah) diiringi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim (enam dari kiri) bergambar bersama peserta ketika program Walk For Hope 2018 di Teluk Senibong, Permas Jaya. - Foto Hairul Anuar Rahim
JIMMY Puah (tengah) diiringi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim (enam dari kiri) bergambar bersama peserta ketika program Walk For Hope 2018 di Teluk Senibong, Permas Jaya. - Foto Hairul Anuar Rahim

Johor pertimbang haramkan penyedut minuman

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menyambut baik dan akan turut sama melaksanakan pengharaman penggunaan penyedut minuman di seluruh negeri itu sebagai usaha menjadikan negeri itu lebih lestari.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata isu pengharaman penyedut minuman itu akan beliau bawa ke peringkat Mesyuarat EXCO pada bulan hadapan untuk dibincangkan.

Katanya, usaha yang dilakukan Kementerian Wilayah amat baik selari dengan usaha menjadikan Malaysia lebih mesra alam dan mengurangkan penggunaan bahan tidak boleh urai.

“Johor perlu melakukan inisiatif yang sama dan tidak perlu ke belakang dalam isu penjagaan alam sekitar, jadi saya akan bawa perkara ini ke Mesyuarat EXCO pada bulan hadapan untuk dibincangkan di peringkat pentadbiran kerajaan negeri.

“Pelbagai perkara akan dibincangkan antaranya perkara yang bakal dibangkitkan terutama daripada pengusaha penyedut minuman dan pengedar, namun apa yang penting sesuatu dasar yang akan dilaksanakan perlu diperjelaskan dengan betul selain membuat perbincangan dengan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai program Walk for Hope di Teluk Senibong di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Wee Tse berkata, inisiatif itu dilihat baik sebagai permulaan sebagaimana yang sudah dilaksanakan di bandar maju seperti Taipei di Taiwan dan London di United Kingdom yang sudah mengharamkan penggunaan penyedut minuman.

Kelmarin, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, memaklumkan berkuat kuasa 1 Januari hadapan, penggunaan penyedut minuman plastik akan diharamkan di semua premis perniagaan menjual makanan dan minuman bagi mengurangkan pencemaran berasaskan plastik dan memulihara alam sekitar.

Katanya, tempoh untuk mendidik masyarakat terutamanya peniaga akan dilaksanakan sehingga tahun 2020 sebelum tindakan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan sepenuhnya.

Berita Harian X