X
Sabtu, 22 September 2018 | 2:00pm
 LEE Kim Shin
LEE Kim Shin

Sarawak perlu lebih banyak Klinik Kesihatan

MIRI: Kementerian Kesihatan perlu mengkaji keperluan membina sebuah klinik kesihatan untuk setiap 10 kilometer di kawasan berkepadatan penduduk tinggi di Sarawak seperti dilakukan di Semenanjung Malaysia.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, berkata klinik kesihatan amat diperlukan di Sarawak, terutama di kawasan bandar yang padat dengan penduduk.

Katanya, langkah itu perlu untuk memastikan masalah kesesakan pesakit yang serius di kebanyakan klinik kerajaan di negeri ini dapat segera diatasi.

“Banyak klinik kesihatan di bandar utama di Sarawak, termasuk di Miri mengalami masalah kesesakan.

“Kita mahu supaya Kementerian Kesihatan mengkaji semula keperluan untuk membina lebih banyak klinik kesihatan di kawasan berkepadatan penduduk tinggi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kim Shin yang juga Penasihat Klinik Kesihatan Tudan berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, untuk dikemukakan ke peringkat atasan.

Beliau berkata, masalah kesesakan pesakit yang dihadapi beberapa klinik kesihatan di Sarawak agak kritikal kerana pertambahan jumlah pesakit.

“Di Miri, selain Klinik Kesihatan Tudan, beberapa klinik lain turut menghadapi masalah serupa. Kadang-kala pesakit menunggu lebih sejam untuk mendapatkan rawatan di klinik berkenaan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X