Sabtu, 22 September 2018 | 7:28pm
TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh hadir pada Majlis Perasmian Program Gotong Royong Mega 2018 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Setiawangsa. Turut hadir Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan. - Foto Hafiz Sohaimi
TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh hadir pada Majlis Perasmian Program Gotong Royong Mega 2018 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Setiawangsa. Turut hadir Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan. - Foto Hafiz Sohaimi

Industri perlu kreatif fikir kaedah ganti straw plastik

KUALA LUMPUR: Pihak industri perlu kreatif dalam usaha mengenal pasti penggantian straw plastik supaya larangan penggunaan bahan itu di Wilayah Persekutuan mulai 1 Januari 2020 tidak menimbulkan masalah kepada pengguna.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikshan, berkata pihak industri masih ada tempoh lebih setahun untuk memikirkan kaedah dan membuat persediaan menggantikan penggunaan straw plastik konvensional.

“Antara caranya ialah mungkin rekaan kotak minuman ditukar dengan membuat lebihan muncung yang boleh dikoyak atau menggunakan straw biodegradasi.

“Ada yang marah kerana kononnya straw hanya perkara kecil. Namun bagi saya, kita perlu melakukan apa saja yang mampu untuk memulihara alam sekitar tanpa mengira perkara kecil atau besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Gotong-Royong Mega 2018 yang dirasmikan Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di sini, hari ini.

Larangan penggunaan straw plastik itu sejajar langkah mengehadkan penggunaan produk plastik konvensional berasaskan hidrokarbon sejak 2016 sebelum penguatkuasaan penuh mulai 1 September tahun lalu.

Melalui penguatkuasaan itu, pasar raya, peniaga dan penjaja di seluruh Wilayah Persekutuan dilarang menggunakan plastik bukan biodegradasi dan polistirena.

Sekurang-kurang 14 bandar di dunia, termasuk Amerika Syarikat, sudah atau bakal melaksanakan larangan penggunaan produk plastik pakai buang meliputi straw.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengenakan kompaun terhadap 200 premis yang mengingkari penguatkuasaan larangan itu.

Dalam pada itu, beliau mengaku ada pasar raya didapati hanya menggunakan plastik biodegradasi ketika DBKL melakukan operasi.

“Saya mahu memberi peringatan bahawa jika ada lagi penipuan seperti ini, kami akan mengambil tindakan tegas.

“Pengguna perlu turut mendesak pasar raya dan peniaga untuk memberi beg plastik biodegradasi jika pihak berkenaan menggunakan produk yang dilarang,” katanya.

Berita Harian X