Selasa, 25 September 2018 | 8:27pm
Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (duduk dua kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Perpat Resort Agro Farm (M) Sdn Bhd, Datuk Murad Khalib (duduk tengah), Pengarah Projek International Agro Farm 2018, Azlee Jaafar (duduk dua kiri) pada sidang media Festival International Agro Farm 2018 di Perpat Resort Agro Farm, Kapar. - Foto Faiz Anuar
Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (duduk dua kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Perpat Resort Agro Farm (M) Sdn Bhd, Datuk Murad Khalib (duduk tengah), Pengarah Projek International Agro Farm 2018, Azlee Jaafar (duduk dua kiri) pada sidang media Festival International Agro Farm 2018 di Perpat Resort Agro Farm, Kapar. - Foto Faiz Anuar

International Agro Farm bantu penduduk pasar hasil niaga

KLANG: International Agro Farm 2018 yang akan berlangsung pada 29 September hingga 4 November depan bakal menonjolkan usahawan tempatan dalam bidang pertanian dan penternakan.

Festival tujuh hari tujuh malam itu akan diadakan di Prepat Agro Farm (M) Sdn Bhd (Prepat Agro Farm), Kapar, di sini.

Pengarah Projek International Agro Farm 2018, Azlee Jaafar, berkata festival itu bertujuan memperkenalkan produk tempatan yang ada di resort itu.

Katanya, pelbagai khemah usahawan akan disediakan yang menawarkan daging segar lebih murah, buah-buahan tempatan, serta sayuran.

“Ini kerana Prepat Agro Farm mempunyai pelbagai sumber pertanian seperti buah rock melon, kelapa sawit, pelbagai sayuran dan penternakan seperti lembu, kambing serta ikan air tawar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Pengarah Eksekutif Prepat Agro Farm, Datuk Murad Khalid dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani.

Azlee berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran antara 10,000 hingga 20,000 pengunjung sepanjang program yang julung kali diadakan itu.

Katanya, antara aktiviti yang disediakan ialah pertandingan memancing yang dijangka disertai lebih 700 pemancing.

“Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM18,000 dan beberapa pertandingan seperti memasak dan gubahan, serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak juga akan dianjurkan.

“Kami juga menyediakan sukan lasak seperti ATV, pertunjukan bunga api dan persembahan 50 artis popular tanah air.

“Setiap hari program berlangsung dari jam 9 pagi hingga jam 12 tengah malam tetapi pada malam Khamis tiada persembahan malam di sini kerana kita mengadakan Forum Perdana di Masjid Kampung Perepat,” katanya.

Sementara itu, Murad berkata, festival itu dirancang bagi mewujudkan aktiviti pelancongan setempat seperti halaman penternakan bagi syarikat pelancongan selain memburu perantis yang berpotensi dan berkarisma.

Berita Harian X