Khamis, 27 September 2018 | 2:32pm
PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, J Arul Kumar berucap pada Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14, di Seremban, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Pembinaan PPR di Ladang Kirby diteruskan

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan meneruskan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Sutera Labu di Ladang Kirby, Labu, di sini, yang dijanjikan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, J Arul Kumar, berkata pembinaan 200 unit rumah berkenaan yang mendapat kelulusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, akan diteruskan melalui proses tender terbuka.

“Projek ini memberi manfaat kepada pekerja dan bekas pekerja ladang. Justeru, kita akan meneruskannya dan keutamaan pengisian ialah untuk pekerja dan bekas pekerja di Ladang Kirby,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk L Manickam (BN-MIC Jeram Padang) pada Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14, di sini, hari ini.

Pelaksanaan projek PPR itu dijangka dapat membantu penduduk di Ladang Kirby, terutama 43 keluarga yang hingga kini masih tinggal di rumah ladang di situ.

Menjawab soalan tambahan Manickam yang meminta kerajaan negeri menambah pembinaan PPR bagi pekerja ladang di Jempol, Tampin dan kawasan pinggir Seremban pula, Arul Kumar berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti 11 tapak tanah bersesuaian untuk dibangunkan sebagai perumahan berkenaan.

“Tapak berkenaan sudah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi penelitian lanjut. Keutamaan pengisian akan diteliti mengikuti lokasi yang diluluskan dan kependudukan berhampiran,” katanya.

Berita Harian X