Sabtu, 29 September 2018 | 10:17pm
AHMAD Faizal Azumu (tengah) melancarkan buku 'Cherita Sutradara dan Seniman Mamat Khalid' di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini. Turut sama Mamat Khalid (kiri) dan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran (kanan). - Foto BERNAMA

Perak mudahkan pengkarya filem buat penggambaran

TANJONG MALIM: Kerajaan negeri Perak sedia berbincang dengan penerbit dan pengkarya drama serta filem bagi memudahkan urusan permit penggambaran di negeri ini.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya memahami kesulitan pihak produksi filem mendapatkan kebenaran daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan negeri untuk melakukan penggambaran di Perak.

“Kita (kerajaan negeri Perak) akan berusaha mencari jalan bagaimana untuk mempermudahkan urusan mereka mempercepatkan proses untuk mendapatkan permit penggambaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan, polis, bomba dan sebagainya.

“Saya pernah mencadangkan untuk mewujudkan pusat sehenti supaya pengkarya dan penerbit filem mudah mendapatkan kelulusan permit penggambaran filem atau drama. Kita akan berusaha untuk merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan buku ‘Cherita, Sutradara dan Seniman Mamat Khalid’ sempena Pesta Buku Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini, hari ini.

Selain Mamat Khalid, majlis itu turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran serta penulis buku berkenaan, Hassan Muthalib.

Dalam pada itu, Mohammad Shatar berkata selain biografi Mamat Khalid, UPSI juga dalam proses menyiapkan buku biografi Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang akan diterbitkan tahun depan.

Katanya, UPSI komited menerbitkan buku-buku berbentuk akademia dan pada masa sama menerbitkan karya popular serta penerbitan fiksyen seperti novel kerana ia mendapat sambutan daripada generasi muda.

Sementara itu, Hassan menyifatkan Mamat Khalid sebagai penyambung tradisi penglipur lara di zaman siber yang mahir menyampaikan naratif bersandarkan alam dan kosmologi Melayu selain filem terbitannya berjaya membawa wajah Melayu tulen.

“Watak rekaan Mamat kesemuanya manusia biasa, lucu, berbudi bahasa dan lemah lembut. Inilah wajah manusia Melayu satu masa dulu yang cuba dijelmakan semula beliau dalam filem, maka layak ia digelar sebagai filem Melayu yang sesuai di era Malaysia baru,” katanya.

Buku itu adalah terbitan Pejabat Karang Mengarang UPSI dan kos penerbitannya ditanggung secara bersama oleh Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak.

Buku tersebut mengupas secara terperinci asal usul Mamat Khalid melalui filem yang lebih tertumpu kepada unsur jenaka selain membimbing pembaca dalam memahami maksud tersurat dan tersirat dalam karya filemnya. – BERNAMA

Berita Harian X