Khamis, 4 Oktober 2018 | 10:33am
Saraya Arbi tertarik dengan hasil pameran lukisan selepas merasmikan Asia International Conference Art and Design (AICAD) 2018 di Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Pameran seni lukis mampu tarik pelancong

LANGKAWI: Seni lukisan menjadi sebahagian agenda pelancongan yang diyakini mampu memberikan sumbangan kepada pertambahan pelancong ke negara ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Saraya Arbi, berkata kementerian itu menerusi Balai Seni Negara (BSN) menyasarkan menganjurkan lebih banyak pameran lukisan secara berkala di negara ini.

“Misalnya, Asia International Conference Art and Design (AICAD) 2018 yang sedang berlangsung di sini menjadi contoh yang baik kepada semua untuk sentiasa bergerak aktif memajukan pelancongan, kesenian dan sosioekonomi setempat.

“Malah, program ini selari dengan objektif kementerian untuk meningkatkan sinergi dan kerjasama di antara penggiat pelancongan dan kebudayaan dalam usaha menjadikan Malaysia destinasi pilihan ramai untuk melancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan AICAD 2018 di BSN cawangan Langkawi di Dayang Walk, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah BSN, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa dan Rektor Universiti Teknologi MARA cawangan Perak, Prof Dr Md Yusof Hamid.


SENI lukis antara tarikan baharu bidang pelancongan di Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Saraya berkata, MOTAC yakin penubuhan BSN cawangan Langkawi mampu mempelbagaikan produk pelancongan sedia ada di Langkawi.

“Secara rasmi BSN akan membuka cawangan pertamanya di negara ini pada tahun depan di pekan Kuah di sini, sebagai sebuah pusat seni untuk tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

“AICAD 2018 adalah pameran pertama yang dianjurkan di Galeri BSN cawangan Langkawi dengan penyertaan sebanyak 50 karya dari pelukis tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Berita Harian X