Khamis, 4 Oktober 2018 | 4:12pm
MOHD Ghazali (lima dari kiri) bersama Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain (enam kiri) bergambar bersama pemenang kategori lelaki pada majlis perasmian Tilawah Alquran peringkat Daerah Kuantan di Sekolah Kebangsaan Padang Garuda. - Foto Farizul Hafiz Awang

JAIP lancar tabung derma mangsa tsunami

KUANTAN: Sebanyak 629 tabung derma mangsa tsunami Sulawesi Tengah, Indonesia akan ditempatkan di seluruh masjid di Pahang selama sebulan bermula esok.

Justeru, masyarakat Islam di negeri ini yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian bagi membantu meringankan penderitaan dihadapi mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang JAIP), Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz, berkata menerusi sumbangan derma itu, pihaknya percaya nasib mangsa gempa bumi dan tsunami akan terbela.

“Sebagai saudara Islam, kita berusaha membantu meringankan penderitaan selepas sebahagian besar penduduk kehilangan tempat tinggal kesan daripada bencana terbabit,” katanya.

Mohd Ghazali ditemui sempena pelancaran tabung derma mangsa tsunami Sulawesi yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad di Masjid Negeri, Sultan Ahmad 1, di sini, hari ini.

Pelancaran tabung berkenaan itu hasil inisiatif JAIP dan Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN yang bertujuan untuk membiayai misi kemanusiaan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Biro Misi Kemanusiaan HALUAN Pahang, Abdul Bashir Abdul Ghani berkata, pihaknya menyasarkan kutipan RM100,000 hasil sumbangan orang ramai di negeri ini.

Katanya, hasil daripada kutipan itu, pihaknya akan membantu menyediakan khemah sebagai tempat tinggal sementara termasuk bantuan makanan dan perubatan.

“Kita percaya sasaran itu akan tercapai dan misi utama adalah mengenal pasti kawasan yang terbabit sebelum bantuan disalurkan di Palu dan Donggala yang terjejas teruk,” katanya.

Berita Harian X