Jumaat, 5 Oktober 2018 | 8:07pm
- Foto BERNAMA
- Foto BERNAMA

Pengusaha nasi ayam RM1 harapkan 'saham akhirat'

JOHOR BAHRU: Bagi seorang pengusaha restoran di Jalan Lembah 18, Masai, dekat sini, perniagaannya bukan sekadar memberi keuntungan semata-mata, tetapi ia juga sebenarnya adalah peluang baginya dan keluarga untuk mengumpulkan ‘saham akhirat’.

Berita mengenai Maimon Abu Samah, 45, yang mengusahakan Restoran Cemara bersama suami dan anak-anaknya, baru-baru ini menjadi viral di media sosial selepas menu tawaran nasi ayamnya berharga RM1 mula diperkenalkan pada 10 September lalu.

“Idea nasi ayam RM1 ini tercetus apabila kami dapati lokasi restoran ini berdekatan dengan banyak universiti awam dan swasta, dan ramai pelajar di universiti-unversiti yang tinggal berhampiran,” kata beliau ketika ditemui di restorannya, di sini hari ini.

“Sambutan amat menggalakkan di kalangan masyarakat terutama pelajar. Kami anggarkan setiap hari 500 pek nasi ayam RM1 untuk makan di restoran sentiasa habis dijual. Kadang-kadang, Jumaat, Sabtu dan Ahad, kita naikkan kepada 1,000 pek memandangkan banyak permintaan,” tambahnya.

Bagaimanapun nasi ayam RM1 itu hanya boleh dibeli sekiranya ia dimakan di restoran itu sahaja dan tidak boleh dibungkus untuk dibawa pulang.

“Ramai yang bertanya, untungkah jual nasi ayam RM1 ini? Bagi kami sekeluarga, kami berniat untuk beramal, bila beramal maksudnya kami bersedekah. Setakat ini, maklumbalas dari pelanggan amat baik,” katanya.

Maimon seterusnya mempelawa mana-mana peniaga yang juga berhasrat untuk beramal agar bertemu dan berbincang dengannya untuk bekerjasama di restoran berkenaan.

Sementara itu, tinjauan di restoran berkenaan mendapati ia dipenuhi dengan pelanggan dari kalangan pelajar dan juga berkeluarga, rata-rata yang memesan nasi ayam RM1.

Bagi seorang pekerja swasta Siti Zaleha Salikan, 28, tawaran menu murah itu memberi peluang baginya untuk berjimat cermat tanpa perlu mengikat perut, dan beliau amat berpuas hati dengan hidangan nasi ayam yang disajikan.

Bagi seorang pelajar UiTM Seri Alam, Amir Luqman Azhar, 20, dengan menu makanan semurah itu, golongan pelajar semestinya boleh menikmati makanan yang sedap walaupun dengan bajet yang rendah.

Rakannya, Muhammad Shafiq Muhammad Izharuddin Yap, 20, turut bersetuju dan berkata dia mendapat tahu mengenai nasi ayam itu dari rakan-rakan seuniversitinya.

Restoran Cemara dibuka dari pukul 11 pagi sehingga 1 pagi. – BERNAMA

Berita Harian X