Isnin, 8 Oktober 2018 | 3:17pm
Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, (tengah) bergambar dengan pegawai dan atlet sukan pelayaran negara yang meraih pingat pada Sukan Asia Ke-18, Jakarta Palembang pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Asia Ke-18, 2018. - Foto ihsan JCORP
Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, (tengah) bergambar dengan pegawai dan atlet sukan pelayaran negara yang meraih pingat pada Sukan Asia Ke-18, Jakarta Palembang pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Asia Ke-18, 2018. - Foto ihsan JCORP

JCorp beri insentif kemenangan atlet sukan layar

JOHOR BAHRU: Tujuh atlet sukan pelayaran negara yang meraih pingat pada Sukan Asia Ke-18, Jakarta, Palembang, baru-baru ini, menerima insentif kemenangan berjumlah RM32,000 daripada Johor Corporation (JCorp) menerusi Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA).

Pada temasya itu, skuad pelayaran merangkul satu emas, satu perak dan tiga gangsa, sekali gus muncul negara ketiga terbaik di Asia dalam sukan pelayaran selepas Jepun dan China.

Antara mereka yang mengharumkan nama negara ialah pelayar muda negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah, 16, yang menghadiahkan pingat emas keenam Malaysia selepas mengungguli acara Laser Terbuka 4.7 dengan mengutip 20 mata di Pusat Pelayaran Kebangsaan Indonesia.

Pingat perak pula disumbangkan Khairulnizam Mohd Afendy menerusi acara Laser Standard dengan kutipan 23 mata, manakala acara Laser Radial turut menyumbang tiga pingat gangsa menerusi Nur Shazrin Mohamad Latif (36 mata); International 470 wanita melalui gandingan Nuraisyah Jamil dan Norashikin Mohamad Sayed (37 mata) serta pasangan Illham Wahab dan Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman dalam acara campuran RS One (103 mata).

Insentif itu disampaikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp yang juga Presiden MSA, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Asia Ke-18.

Turut hadir Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamidan dan Pengarah Program Podium Institut Sukan Negara, Dr P Vella Pandian.

Kamaruzzaman berkata, selain ganjaran kejayaan itu, insentif juga sebagai suntikan awal agar atlet berusaha meneruskan kemaraan, sekali gus mengekalkan kejuaraan pada temasya sukan akan datang.

“Apa yang penting selain meraikan kemenangan ialah kita memastikan atlet pelayaran mampu meneruskan kesinambungan kejayaan pada masa akan datang dan inilah sebenarnya tujuan pemberian insentif ini.

“Kami amat berpuas hati kerana mereka amat cekal menggalas misi untuk menyumbangkan emas kepada Malaysia bagi temasya sukan ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Skuad pelayaran negara turut mencatatkan prestasi cemerlang apabila layak menyertai Olimpik Tokyo 2020 menerusi kategori Laser Standard dan Laser Radial.

Sebelum ini, Malaysia berjaya merangkul tiga perak dan satu gangsa pada kejohanan Asian Sailing Championship (ASC) 2018 pada Jun lalu.

“Kejayaan atlet dalam temasya ini menjadi satu lagi pencapaian kepada MSA dan Malaysia di peringkat antarabangsa yang boleh kita banggakan.

“Ia diharapkan dapat melonjakkan usaha MSA dan Malaysia untuk menaikkan pencapaian sukan perahu layar di peringkat antarabangsa, khususnya dalam menghadapi temasya Sukan Sea 2019 di Filipina,” katanya.

MSA menetapkan pemberian insentif kemenangan sebanyak RM10,000 untuk pingat emas, perak (RM5,000) dan gangsa, RM3,000 serta sagu hati kepada jurulatih.

Berita Harian X