Isnin, 8 Oktober 2018 | 6:59pm
PENDUDUK 10 kampung sekitar Kapar berisiko berdepan banjir sekiranya hujan dan ribut berlaku serentak berikutan fenomena air pasang besar yang dijadualkan berlaku pada jam 6 pagi esok. - NSTP/Norrasyidah Arshad
PENDUDUK 10 kampung sekitar Kapar berisiko berdepan banjir sekiranya hujan dan ribut berlaku serentak berikutan fenomena air pasang besar yang dijadualkan berlaku pada jam 6 pagi esok. - NSTP/Norrasyidah Arshad

10 kampung di Kapar berdepan risiko banjir

KAPAR: Penduduk 10 kampung sekitar daerah ini berdepan risiko banjir sekiranya hujan dan ribut berlaku serentak berikutan fenomena air pasang besar yang dijadualkan pada jam 6 pagi esok.

Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor, berkata sekiranya hujan tanpa adanya ribut, banjir berkemungkinan tidak akan berlaku dan melanda penduduk di situ.

Katanya, hujan dan ribut akan menyebabkan penolakan yang kuat sekali gus mampu menghakis ban yang dijadikan sebagai penghadang air.

“Antara kampung terbabit adalah Kampung Tok Muda, Kampung Perepat, Kampung Sungai Keramat dan Kampung Sementa, yang dikenalpasti berisiko tinggi untuk dinaiki air sekiranya fenomena air pasang besar pagi esok disertai dengan ribut dan hujan lebat.

“Saya menasihatkan penduduk di kampung ini supaya berhati-hati dan tidak melakukan sebarang akitivi berhampiran dengan laut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Zainal bersama Pengarah Jabatan Saliran dan Pengairan Selangor, Azmi Ibrahim serta wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (JPA), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan polis meninjau keadaan ban sekitar situ.

Mengulas lanjut berkenaan tinjauan terbabit, Mohd Zainal berkata, hanya ban di Kampung Sungai Serdang mengalami sedikit hakisan akibat ombak dan angin kuat dari Selat Melaka yang melanda beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerja menambak kembali ban berkenaan sudah dijalankan sebaik hakisan terbabit dikesan selain pemantauan diteruskan setiap hari.

“Jentera juga ditempatkan di kawasan berhampiran sebagai persediaan sekiranya hakisan berlaku lagi.

“Pihak JPS turut menyediakan hampir 20 pam dan akan digunakan jika perlu,” katanya.

Berdasar jadual pasang surut air bagi kawasan Pelabuhan Klang, paras air diramalkan akan berada pada paras tertinggi mulai esok sehingga Khamis ini dengan ketinggian mencecah 5.6 meter.

Susulan itu, lapan dewan serbaguna disediakan untuk dijadikan pusat pemindahan sementara sekiranya banjir berlaku.

Berita Harian X