Isnin, 8 Oktober 2018 | 10:13pm
ANGGOTA Pertahanan Awam (APM) memantau keadaan banjir di Baling. - Foto ihsan APM

8 keluarga berpindah kerana banjir di Baling

BALING: Lapan keluarga membabitkan 50 penduduk Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Risda berikutan banjir kilat melanda kampung itu malam ini.

Hujan lebat berterusan sejak jam 5 petang tadi menyebabkan air Sungai Ketil melimpah dengan cepat dan memasuki rumah pendudukjam 8 malam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata, hujan lebat petang ini menyebabkan air Sungai Ketil melimpah dan memasuki rumah penduduk sedalam satu meter.

Beliau berkata, lapan keluarga terpaksa dipindahkan kerana rumah mereka terjejas teruk.

“Banjir kali ini lebih teruk berbanding kelmarin kerana air naik dengan mendadak sehingga paras tingkap.

“Penduduk terpaksa berpindah segera ke tempat selamat bagi mengelakkan kejadian buruk kerana keadaan cuaca gelap,” katanya.

Menurutnya, semua agensi penyelamat membantu memindahkan mangsa banjir iaitu anggota APM, pejabat daerah, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) , Majlis Daerah Baling (MDB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Berita Harian X