Selasa, 9 Oktober 2018 | 9:17pm
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar. - Foto Rozainah Zakaria

Khidmat pekerja asing akan terus dikurangkan

KUALA NERUS: Kerajaan mahu terus mengurangkan buruh asing kepada sekitar 10 peratus dalam sektor pekerjaan negara berbanding 11.7 peratus sekarang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata ketika ini ada 1.75 juta pekerja asing berdaftar di negara ini berbanding 2.06 juta pada 2008.

Beliau berkata, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing, kerajaan komited melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam kalangan anak tempatan.

“Ini juga bergantung kepada bagaimana kita dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan melalui sistem TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) bagi memenuhi pasaran sebab keperluan industri sekarang ialah mendapatkan tenaga mahir.

“Oleh itu, kita nak tingkatkan tenaga mahir daripada 27 peratus sekarang kepada 35 peratus menjelang 2020,” katanya selepas merasmikan Sesi Town Hall Jawatankuasa Bebas Pekerja Asing di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu, Gong Badak di sini, hari ini.

Sesi town hall yang diadakan di 12 negeri bermula di Terengganu itu bertujuan berkongsi maklumat antara kerajaan dan majikan mengenai pengurusan pekerja asing pada masa sekarang dan bagaimana menambah baik sistem berkenaan supaya lebih cekap dan berkesan.

Hadir sama Setiausaha Jawatankuasa Bebas Pekerja Asing merangkap Pengarah Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Wan Zulkfli Wan Setapa.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, tiga sektor iaitu perkilangan, pembinaan dan perladangan bagaimanapun masih memerlukan khidmat buruh yang ramai.

“Sebab itu tiga sektor ini mencatatkan bilangan buruh asing paling tinggi di negara ini,” katanya.

Berita Harian X