Selasa, 9 Oktober 2018 | 10:01pm
PENGERUSI Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMT, Tan Sri Halim Mohamad (tengah) menyaksikan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (dua dari kiri) bertukar dokumen MoA dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Era Flow (M) Sdn Bhd dan Rentas Saga Sdn Bhd, Abdul Hafiz Abdullah (dua dari kanan) di Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

UMT jalin kerjasama mantapkan industri akuakultur

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini menandatangani dua memorandum perjanjian (MoA) membabitkan dua pemain industri bagi memperkasa industri akuakultur negara.

Perjanjian membabitkan Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) di bawah seliaan UMT dengan Era Flow (M) Sdn Bhd (Era Flow) dan Rentas Saga Sdn Bhd (Rentas Saga) bagi menjalankan penyelidikan berkaitan udang harimau.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata jalinan kerjasama itu adalah satu anjakan paradigma ke arah pembangunan industri akuakultur.

“Perkongsian strategik antara pihak industri dengan pihak akademik adalah satu kemestian.

“Menerusi perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam bidang yang berkaitan, ia diharap dapat dimanfaatkan bersama,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMT, Tan Sri Halim Mohamad.

Menerusi perjanjian itu, Era Flow menyerahkan dana penyelidikan berjumlah RM682,745 bertujuan mewujudkan pusat pembiakan nukleus penaeus monodon (induk udang harimau) untuk tempoh tujuh tahun bagi menjalankan aktiviti penyelidikan.

Rangka kerja penyelidikan yang akan dijalankan bertajuk `Pemilihan Baka Penternakan Penanda Molekul untuk Penghasilan Induk Tumbesaran Pantas’ dan `Induk Udang Harimau Bebas Patogen’.

Inisiatif penubuhan pusat pengembangan induk udang harimau yang dijangka dilaksanakan di Tanjung Resang, Johor, itu dapat membantu membekalkan induk udang harimau berkualiti tinggi bagi keperluan penetasan tempatan dan negara serantau.

Sementara perjanjian bersama Rentas Saga membabitkan penyerahan dana sebanyak RM211,000 untuk tempoh tiga tahun bagi menjalankan penyelidikan bertajuk `Implementasi Teknologi Biogumpal untuk Meningkatkan Penghasilan Udang Marin’.

Inovasi ini adalah teknologi hijau pengurusan udang dalam akuakultur bagi menghasilkan ternakan bebas penyakit dan pencemaran air serta mempercepatkan proses kematangan udang berkualiti tinggi.

Pada majlis sama, UMT turut menerima dana penyelidikan daripada BETSOL Sdn Bhd, syarikat yang menggunakan bioteknologi dalam mengolah sisa organik untuk menghasilkan protein serangga dan kompos.

Dana berjumlah RM120,000 itu adalah untuk membiayai penyelidikan bertajuk `Pembangunan Formulasi Makanan Ternakan Akuakultur Menggunakan Protein Daripada Larva Lalat Black Soldier’.

Berita Harian X