Khamis, 11 Oktober 2018 | 9:32am
ZAMRI Yusuf. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
ZAMRI Yusuf. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
ZAMRI Yusuf (kanan) beramah mesra bersama mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Gunong. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
ZAMRI Yusuf (kanan) beramah mesra bersama mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Gunong. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Baik pulih hakisan, jambatan elak kemalangan - EXCO Kedah

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan membaik pulih segera hakisan tebing sungai, jambatan serta jalan runtuh akibat banjir yang melanda Kedah ketika ini bagi mengelak berlakunya kemalangan jiwa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa membuat pemantauan terhadap perubahan di kawasan-kawasan berisiko dan segera mengambil tindakan supaya ia tidak mengancam nyawa penduduk.

“Tragedi yang berlaku sehingga meragut dua nyawa akibat mendapan tanah di Jalan Taman Serdang 10 September lalu memberi pengajaran kepada kita supaya lebih peka dengan pergerakan tanah berhampiran sungai.

“Sehingga kini, memang terdapat kejadian tebing sungai dan jalan runtuh akibat limpahan air sungai yang sangat deras di Padang Terap, JPS sedang menjalankan kerja-kerja membuat benteng di tebing sungai Kuala Nerang yang terhakis termasuklah membina semula jalan yang runtuh akibat banjir di Kampung Keda Bukit Kura, Pedu,” katanya ketika ditemui NSTP semasa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Gunong, semalam.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, banjir yang melanda Kedah ketika ini berpunca daripada pertembungan antara fenomena air laut pasang serta musim hujan.

Katanya, hujan lebat dan berpanjangan di hulu menyebabkan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) perlu melepaskan air empangan ke sungai-sungai dan seterusnya ke laut namun aliran air menjadi pelahan di kawasan Kota Setar akibat fenomena air pasang.

“Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Anak Bukit telah siap hampir 80 peratus, namun ia belum berfungsi berikutan terdapat dua jalan yang perlu dibina semula, kita yakin ia akan disiapkan dalam setahun lagi bagi mengatasi masalah banjir.

“Cuma apa yang kita boleh lakukan sekarang adalah membuat lencongan air bagi mengurangkan ia melimpah ke kawasan penduduk, bagaimanapun dalam masa yang sama kita perlu berdoa semoga hujan tidak berlarutan ketika air pasang,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X