Khamis, 11 Oktober 2018 | 9:48am

Hari terakhir fenomena air pasang besar di Klang terkawal

PELABUHAN KLANG: Hari terakhir fenomena air pasang besar menyaksikan keadaan masih terkawal di daerah Klang dengan hanya sedikit limpahan air laut yang memasuki longkang utama di beberapa kawasan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, berkata, cuaca baik dengan tiada angin kencang malam tadi dipercayai menyebabkan paras air laut tidak melepasi ketinggian ban pada 6 meter di pesisir pantai di daerah ini.

Beliau berkata, walaupun terdapat sedikit limpahan di beberapa jalan di sekitar daerah ini berikutan air laut masuk ke dalam longkang, perkara itu adalah biasa.

“Pada pagi tadi, pemantauan dibuat dari jam 5 pagi hingga 7.30 pagi dengan paras tertinggi direkodkan pada jam 7.13 pagi dengan ketinggian 5.5 meter dan keadaan semuanya terkawal.

“Pada petang ini, kira-kira jam 5 petang nanti, kita akan lakukan rondaan sekali lagi berikutan air pasang dijangka mencecah ketinggian 5.1 meter pada jam 7.31 malam nanti,” katanya ketika ditemui ketika membuat tinjauan di bersama beberapa agensi di Terminal Penumpang South Port, pagi tadi.

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memantau keadaan paras air yang naik mencecah 5.5 meter terkawal di Terminal Penumpang South Port, Pelabuhan Klang berikutan fenomena air pasang besar. - Foto NSTP/Faiz Anuar
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memantau keadaan paras air yang naik mencecah 5.5 meter terkawal di Terminal Penumpang South Port, Pelabuhan Klang berikutan fenomena air pasang besar. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Antara agensi yang terbabit memantau fenomena air pasang termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) dan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kekuatan 90 anggota pada hari ini.

Fenomena air pasang dijangka berakhir petang nanti dan difahamkan esok, paras air pasang akan mencecah 5.3 meter pada jam 7.43 pagi manakala ia dijangka setinggi 4.9 meter apabila air pasang sekali lagi pada jam 8.03 malam.

Dalam pada itu, Samsol Maarif, berkata Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Zon Klang akan menutup Pos Kawalan Bomba (PKB) pada jam 9 malam ini selepas waktu air pasang pada jam 7.31 malam nanti.

Katanya, tujuh pusat penempatan mangsa banjir turut diaktifkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika air melepasi paras ban antaranya Dewan Serbaguna Tok Muda; Dewan Ahmad Razali; Sekolah Rendah Agama Batu Empat; Dewan Orang Ramai Jalan Palembang, Rantau Panjang; Dewan Bandar Sultan Sulaiman; Dewan Komplek Sukan Pandamaran; dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Lee Min Telok Gong.

“Setakat tiga hari fenomena air pasang besar yang berlaku di daerah ini semuanya dalam keadaan terkawal. Kesemua PKB dijangka tutup pada malam nanti jika tiada apa-apa yang berlaku.

“Sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku, kita harap penduduk di sekitar lokasi yang terjejas untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa. Selamatkan semua dokumen penting dan pastikan semua bekalan elektrik ditutup,” katanya.

Sebanyak 10 lokasi yang berisiko tinggi banjir akibat fenomena air pasang besar di Daerah Klang bermula Sempadan Kuala Selangor sehingga Sempadan Kuala Langat.

Lokasi yang terbabit adalah Pangkalan Tok Muda, Ban Sementa, Ban Sungai Keramat Batu Empat Kapar, Ban Sungai Serdang, Jalan Pandamaran, Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, Jeti Nelayan Kampung Perepat, Pulau Ketam, dan juga Telok Gong.

Sebelum ini, Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor, berkata, penduduk 10 kampung sekitar daerah ini berdepan risiko banjir sekiranya hujan dan ribut berlaku serentak berikutan fenomena air pasang besar yang dijadualkan bermula kelmarin.

Beliau dilaporkan berkata, sekiranya hujan tanpa adanya ribut, banjir berkemungkinan tidak akan berlaku dan melanda penduduk di sini.

SAMSOL Maarif Saibani (dua dari kiri) bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memantau keadaan paras air yang naik mencecah 5.5 meter terkawal di Terminal Penumpang South Port, Pelabuhan Klang berikutan fenomena air pasang besar. - Foto NSTP/Faiz Anuar
SAMSOL Maarif Saibani (dua dari kiri) bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memantau keadaan paras air yang naik mencecah 5.5 meter terkawal di Terminal Penumpang South Port, Pelabuhan Klang berikutan fenomena air pasang besar. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X