Sabtu, 13 Oktober 2018 | 5:11pm
PANGLIMA Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw (kanan) bersalam dengan Datuk Awang Raweng (tengah) selepas majlis Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Sibu, sempena sambutan Harijadi Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud. - NSTP/Harun Yahya

Sarawak iktiraf pengorbanan 3 'Bujang Berani'

SIBU: Tiga tokoh pejuang Sarawak yang digelarkan sebagai ‘Bujang Berani’ mendapat pengiktirafan tertinggi pada Istiadat Pengurniaan Darjah Dan Pingat Kebesaran Kerajaan Sarawak sempena Sambutan Hari Jadi Ke-82 Yang Di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, di sini hari ini.

Selain bekas Ketua Cawangan Khas Sarawak, Allahyarham Datuk Seri Alli Kawi, turut menerima pengiktirafan itu ialah Sarjan (B) Awang Raweng dan Allahyarham Asisten Superintendan (ASP) Mohamad Johnny Mustapha.

Alli yang berperanan penting di sebalik perletakan senjata Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) diketuai Bong Kee Chok, disusuli perjanjian damai di Sri Aman pada 20 Oktober 1973 dianugerahkan pingat Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) membawa gelaran Datuk Amar.

Ia dianugerahkan secara posthumous bagi menghargai sumbangannya kepada negeri ini, dengan pingat berkenaan diterima isterinya, Datin Amar Fatimah Jamil.

Mohamad Johnny pula, bekas Pegawai Pemerintah Batalion ke-15 Pasukan Polis Hutan (PPH) yang terkorban dalam serang hendap komunis di Sungai Stabau, Sibu pada 6 April 1975 dikurniakan pingat Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) membawa gelaran Datuk.

Turut dikurniakan pingat sama ialah Awang Raweng 93, bekas anggota Iban Scout di Platun Ke-10, Kompeni D, 1 Batalion Rejimen Worcestershire.

Ketika menjalankan rondaan di kawasan di Johor, platun mereka diserang hendap 50 pengganas komunis, menyebabkan dua anggota platun mati, manakala Awang cedera pada paha.

Walaupun parah, keberanian dan semangat juang yang tinggi mendorongnya menyelamatkan rakan setugasnya yang dihujani peluru ketika itu.

Malah, atas keberanian luar biasanya, beliau dikurniakan Pingat George Cross oleh Kerajaan British pada 20 November 1951, malah muncul sebagai ‘Anak Sarawak’ pertama diberikan pengiktirafan berkenaan.

“Ini suatu detik membanggakan apabila diberikan pengiktirafan di tanah tumpah darah saya. Terima Kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Tun (Abdul Taib Mahmud) di atas kurniaan ini,” katanya ketika ditemui NSTP.

Beliau juga pernah dikurniakan Pingat Perak, Pingat Emas dan Pingat Jubli Berlian oleh Ratu Elizabeth Ke-2 di atas sumbangan dan pengorbanannya, selain menerima Ijazah Sarjanah Kehormat Universiti Pertahanan Nasional (UPNM).

Bagi Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM cawangan Sarawak, Leftenan Kolonel Dunging Serit, pengurniaan kepada pejuang negara ini disifatkan sebagai satu penghargaan tertinggi kepada mereka.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana perjuangannya (Datum Awang Raweng) telah diberi penghargaan. Dia memang terkenal, walaupun agak lambat tetapi tetapi sekurang-kurangnya kerajaan sudah ada memberi pengiktirafan ini,” katanya.

Sementara itu, mengetuai senarai penerima pingat pada istiadat berlangsung hari ialah isteri Ketua Menteri Sarawak, Datin Patinggi Juma’ani Tuanku Bujang yang menerima pingat Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) membawa gelaran Datuk Amar.

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dan bekas Menteri Muda Kebajikan, Wanita, Kanak-Kanak dan Keluarga Sarawak, Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi menerima pingat Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Ahli Parlimen Betong, Robert Lawson Chuat dan Menteri Muda Utiliti Sarawak, Dr Abdul Rahman Junaidi menerima pingat Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) membawa gelaran Datuk.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr Mohd Fadzil Abdul Rahman dan Pengarah Imigresen Sarawak, Ken Leben, masing-masing dikurniakan pingat Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) membawa gelaran Datuk.

Berita Harian X