Ahad, 14 Oktober 2018 | 11:04am
ANTARA replika yang dihasilkan oleh pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong menggunakan bahan terbuang pada Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Sabah. - Foto ihsan Muhamad Fared Zulkafli

Berbaloi kumpul bahan terbuang

BEAUFORT: Hanya menggunakan 1,500 botol plastik dan 100 keping bekas telur untuk menghasilkan replika Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

Inisiatif pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, di sini, itu berjaya memikat juri sehingga dinobat pemenang Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Sabah.

Bukan itu sahaja, pelajar dan guru sekolah itu turut menggunakan bahan semula jadi iaitu pelepah pokok rumbia yang mudah didapati di sekitar kampung untuk menghasilkan replika menara Petronas.

Usaha selama dua minggu itu berbaloi apabila sekolah berkenaan membawa pulang RM2,000 dan sijil penyertaan bagi pertandingan anjuran Jabatan Penerangan, selain mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan bagi kategori sekolah menengah, minggu depan.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Keceriaan dan Inovasi Bulan Kemerdekaan SMK Gadong, Muhamad Fared Zulkafli, berkata sekolahnya menyertai pertandingan itu pada Ogos lalu mengikut kategori sekolah menengah bagi peringkat negeri.

“Sebaik penyertaan dihantar, saya bersama beberapa guru termasuk Penolong Kanan Kokurikulum, Norhaini Jaini berbincang dan hasil idea kreatif semua pihak berjaya menghasilkan pelbagai replika diperbuat daripada bahan terbuang.

“Ini termasuk botol air plastik, bekas telur, tin minuman aluminium serta pelepah rumbia yang banyak terdapat di kawasan kampung.

“Kami minta pelajar kumpulkan bahan terbuang itu sebelum disusun serta dihias untuk dijadikan replika bagi menceriakan kawasan sekolah,” katanya kepada NSTP.

Muhamad Fared berkata, selain replika peta Malaysia, bunga rafflesia dan logo Sayangi Malaysiaku, beberapa lukisan mural dihasilkan daripada alumni dan guru serta perhiasan bendera turut menambah keceriaan sekolah.

“Kami tidak sangka diumumkan pemenang kerana turut bersaing dengan sekolah menengah lain di seluruh Sabah,” katanya yang juga guru SMK Gadong.

Keputusan bagi peringkat kebangsaan dijangka diketahui minggu depan.

Berita Harian X