Ahad, 14 Oktober 2018 | 2:16pm
MENTERI Wilayah, Khalid Abdul Samad (lima dari kiri) bersama Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali (enam dari kiri) pada perasmian Hari Alam Sekitar Negara dan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) di IPGKIK, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto NSTP
MENTERI Wilayah, Khalid Abdul Samad (lima dari kiri) bersama Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali (enam dari kiri) pada perasmian Hari Alam Sekitar Negara dan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) di IPGKIK, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto NSTP

Serius kuat kuasa larangan penggunaan straw

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah serius menguatkuasakan larangan penggunaan penyedut minuman plastik berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 demi kelestarian alam dan kesejahteraan penduduk di ibu negara.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata sebagai pengganti kepada penyedut minuman plastik konvensional, bahan daripada biodegradasi atau kertas boleh digunakan kerana ia mesra alam.

Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan larangan penggunaan penyedut minuman plastik hanya untuk peniaga dan pengusaha kedai makan yang memegang lesen dan bukan orang ramai seperti tertera dalam syarat lesen perniagaan mulai 1 Januari depan.

“Usaha bersama ke arah alam sekitar lebih baik tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak mencakupi masyarakat berbilang kaum, pelajar institusi pengajian tinggi dan Institut Pendidikan Guru (IPG),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Wilayah Persekutuan dan Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) di IPG Kampus Ilmu Khas, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.

Debat kali ini anjuran IPG Kampus Ilmu Khas dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Alam Sekitar Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Aktivis Debat IPG Malaysia (ADIM).

Pertandingan debat selama empat hari sehingga esok disertai 64 pasukan meliputi pelajar universiti awam (UA), universiti swasta, IPG, kolej matrikulasi, Politeknik, Maahad Tahfiz dan institusi pendidikan lain yang berusia 18 hingga 21 tahun.

Khalid berkata, HASN Peringkat Wilayah Persekutuan kali ini lebih menarik kerana diisi dengan pertandingan debat yang membincangkan isu alam sekitar sebagai medium perdebatan.

“Program seumpama ini perlu dilaksanakan secara berterusan untuk mencetuskan kesedaran berhubung kepentingan menjaga alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama,” katanya.

Sementara itu, Mohd Suhaimi berkata pihaknya bersama rakan kolaboratif yakin program berkenaan mampu melahirkan mahasiswa dan pendebat prihatin terhadap isu alam sekitar.

“Sebagai generasi muda yang mewarisi kepemimpinan negara, mahasiswa perlu memiliki daya pemikiran kreatif dan kritis berhubung kelestarian alam sekitar yang kondusif untuk didiami manusia, flora, fauna dan semua makhluk,” katanya.

Berita Harian X