Ahad, 14 Oktober 2018 | 5:06pm
ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia membantu membawa mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Rakan Muda, Batu 42, Pulai. - Foto SAFURI KAMARUDIN
ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia membantu membawa mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Rakan Muda, Batu 42, Pulai. - Foto SAFURI KAMARUDIN

Mangsa banjir di Kedah meningkat

ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah meningkat berbanding pagi tadi apabila 123 individu membabitkan 36 keluarga direkodkan berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Mejar (PA) Imran Azemi, berkata sebuah PPS baharu dibuka jam 10 pagi tadi iaitu di Dewan Belia Kompleks Sukan yang menempatkan 71 mangsa, menjadikan keseluruhan PPS dibuka setakat ini, empat tempat.

“Berbanding pagi tadi, hanya 49 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Baling, namun jumlah itu meningkat kepada 123 mangsa di empat PPS melalui laporan yang dikemas kini setakat jam 3 petang.

“Tiga PPS lagi yang dibuka sejak semalam ialah di Surau Kampung Lahar yang menempatkan tujuh mangsa, Dewan Orang Ramai Batu 48 (22) dan Dewan Komuniti Kampung Banggol Derom (23),” katanya dalam kenyataan, di sini.

Banjir di Kedah mula melanda sejak Isnin lalu di empat daerah membabitkan Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Baling sendiri yang menempatkan lebih 600 mangsa di 12 PPS.

Namun, pada Jumaat lalu keadaan banjir dilaporkan semakin pulih apabila hanya sebuah PPS masih dibuka iaitu di Pendang yang menempatkan seramai 38 mangsa.

Bagaimanapun, sejak semalam banjir melanda semula susulan hujan lebat dengan tiga PPS di Baling yang sudah ditutup sebelum ini dibuka semula untuk menempatkan mangsa banjir.

Berita Harian X