Isnin, 15 Oktober 2018 | 10:27am
SULTAN Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bersama Sultanah Kedah Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff berangkat ke pelancaran setem dan medalion pertabalan sempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 di Balairung Seri Kecil, Istana Anak Bukit, Alor Setar. - Foto BERNAMA
SULTAN Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bersama Sultanah Kedah Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff berangkat ke pelancaran setem dan medalion pertabalan sempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 di Balairung Seri Kecil, Istana Anak Bukit, Alor Setar. - Foto BERNAMA

Sultan Kedah berkenan rasmi pelancaran setem

ALOR SETAR: Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini berkenan merasmikan pelancaran setem dan medalion pertabalan sempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 yang dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober depan.

Turut berangkat ke majlis pelancaran yang berlangsung di Balairung Seri Kecil, Istana Anak Bukit di sini, Sultanah Kedah Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff.

Selain itu, Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan isteri Toh Puan Bendahara Kedah, Datin Seri Diraja Puan Seri Datuk Nora Abdullah; Tunku Temenggong Kedah, Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Arif Ibni Sultan Sallehuddin turut berangkat ke majlis pelancaran itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria juga hadir pada majlis pelancaran berkenaan.

Pegawai Kewangan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Pelancaran Setem dan Medalion Pertabalan itu Datuk Ammar Shaikh Mahmod Naim ketika berucap pada majlis pelancaran itu berkata, set folder setem berkenaan akan mula dijual di semua cawangan Pos Malaysia pada 22 Oktober ini.

Beliau berkata, set folder setem itu terdiri daripada setem Sampul Surat Hari Pertama, Lembaran Mini dan risalah penceritaan berkenaan Sultan Sallehuddin.

"Pengeluaran setem ini melibatkan tiga jenis setem yang bernilai 60 sen setiap satu yang bermotifkan Tuanku Sultan Kedah (Sultan Sallehuddin) berpakaian sikap, berpakaian tentera dan berpakaian kebangsaan berlatar belakangkan Istana Anak Bukit.

"Turut sama dalam set folder tersebut adalah Lembaran Mini berharga RM5 bermotifkan gambar Tuanku Sultan dan Sultanah Kedah (Sultanah Maliha) berpakaian kuning songket dan turut disertakan Sampul Surat Hari Pertama," katanya.

Mengenai medalion pertabalan pula, Ammar berkata sebanyak lima jenis medalion yang disediakan sempena istiadat pertabalan iaitu dua jenis medalion emas, dua jenis medalion perak dan satu jenis medalion emas nordic yang kesemuanya bermotifkan gambar Sultan Kedah.

"Medalion ini akan dijadikan cenderahati kepada tetamu-tetamu yang hadir pada istiadat pertabalan nanti," katanya.

Beliau berkata, persediaan rekaan dan pengeluaran medalion itu melibatkan kerjasama Bank Negara Malaysia manakala penyediaan rekaan dan percetakan setem berkenaan pula mendapat kerjasama Pos Malaysia Berhad. -- BERNAMA

Berita Harian X