Isnin, 15 Oktober 2018 | 8:13pm
KEADAAN Mohd Yasin Mat Said yang menghidap barah otak tahap empat di Kampung Gelong Gajah, Machang. - Foto IHSAN PEMBACA
KEADAAN Mohd Yasin Mat Said yang menghidap barah otak tahap empat di Kampung Gelong Gajah, Machang. - Foto IHSAN PEMBACA

Lelaki sering sakit kepala disahkan barah otak

KOTA BHARU: Keadaan seorang bekas pemandu lori sering mengalami sakit kepala sejak dua tahun lalu, akhirnya terjawab apabila disahkan menghidap barah otak tahap empat.

Mohd Yasin Mat Said @ Muhammad, 39, dikesan menghidap penyakit itu selepas tidak dapat lagi menahan sakit, Februari lalu, dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Krai sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Kakak sulungnya, Hasmirah, 47, berkata sebelum ini Mohd Yasin menyangkakan ia sakit kepala biasa, justeru hanya memakan ubat dibeli dari kedai tanpa mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

“Bagaimanapun, keadaannya menjadi semakin teruk pada Februari lalu sebelum menjalani imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) di HUSM dan disahkan menghidap barah otak tahap empat.

“Susulan itu, adik menjalani tiga kali pembedahan di kepala antara Julai hingga September lalu, termasuk yang terakhir bagi membuang air sebelum dimasukkan wayar dari kepala disalurkan ke perut, selain 20 kali rawatan kemoterapi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, Mohd Yasin yang masih bujang dan tinggal di Kampung Gelong Gajah, dekat Machang, kini terlantar akibat lumpuh dari paras pinggang ke bawah, terpaksa mengenakan lampin pakai buang dan tidak boleh bercakap.

Katanya, keadaan semakin sukar apabila ayah mereka, Mat Said @ Muhammad Ibrahim, 69, juga tidak mampu berjalan selepas kaki kanan patah akibat kemalangan pada Mei lalu, sementara ibu, Remelah Mat San, 66, pula perlu menjaga Mohd Yasin.

“Sebelum ini, ayah bekerja sebagai penoreh getah. Namun selepas kemalangan, ayah tidak boleh bekerja dan hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

“Wang itu digunakan untuk menyara keluarga, kos ulang-alik rawatan adik di HUSM dan membeli lampin pakai buang serta susu,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke dalam akaun Bank Islam: 03045022016391 atas nama Remelah Mat San.

Berita Harian X