X
Selasa, 16 Oktober 2018 | 10:08pm
KEADAAN sebahagian rumah terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat sejak jam 2 petang tadi di beberapa kawasan sekitar Meru iaitu Jalan Teratai Lorong Abadi, Taman Daya Meru dan Jalan Cempaka.
KEADAAN sebahagian rumah terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat sejak jam 2 petang tadi di beberapa kawasan sekitar Meru iaitu Jalan Teratai Lorong Abadi, Taman Daya Meru dan Jalan Cempaka.

Meru dilanda banjir kilat

KLANG: Sebanyak 30 keluarga terjejas selepas kediaman mereka di beberapa kawasan sekitar Meru dilanda banjir kilat susulan hujan lebat kira-kira empat jam sejak jam 2 petang tadi.

Ketua Bomba Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, antara kawasan terjejas adalah Jalan Teratai, Lorong Abadi, Taman Daya Meru dan Jalan Cempaka.

“Untuk makluman, sehingga jam 8.30 malam hanya sebuah keluarga terdiri daripada lima mangsa dari Taman Daya Meru, off Jalan Teratai mendaftar masuk ke Pusat Pemindahan di Dewan Orang Ramai MPK Meru.

“Kejadian banjir kilat ini disebabkan limpahan air dari longkang yang tidak diselenggarakan dengan baik. Setakat ini, ketinggian air paling maksimum direkodkan sehingga paras lutut.

“Selain kawasan perumahan, kawasan yang turut terjejas adalah bangunan kedai dan kawasan perindustrian sekitar Meru,” katanya.

Sementara itu, Samsol berkata paras air sekitar Jalan Kenangan, Kampung Hj Sharif, Jalan Cempaka, Jalan Teratai, Taman Daya Meru adalah antara 100 milimeter (mm) hingga 300 mm.

“Paras air Sungai Kapar Kecil meningkat akibat taburan hujan yang tinggi dan fenomena air pasang selama seminggu lalu.

“Selain itu, sistem saliran yang dibina oleh pihak kilang dengan saiz yang kecil dan jajaran parit tanah serta konkrit yang tidak sempurna juga menyumbang kepada banjir kilat,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan berterusan dan tindakan akan dilakukan mengikut perkembangan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X