Rabu, 17 Oktober 2018 | 1:11pm
GAJAH jantan seberat 3.5 tan dekat Ladang Getah Aring 8, Gua Musang. - Foto BERNAMA

Perhilitan Kelantan tangkap gajah 3.5 tan

KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor gajah jantan seberat 3.5 tan dekat Ladang Getah Aring 8, Gua Musang, petang semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohd Hasdi Hussin, berkata tangkapan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengurus ladang pada jam 10.30 pagi.

Beliau berkata susulan laporan itu, sepasukan lima anggota Perhilitan pergi ke lokasi dan berjaya menangkap gajah jantan berkenaan kira-kira jam 3.10 petang.

“Gajah yang ditangkap itu dianggarkan seberat 3.5 tan dan berumur dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun dengan ukur lilit kaki sebesar 15 inci.

“Gajah yang ditangkap itu dalam keadaan sihat dan diberikan makanan supaya tidak bertindak agresif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Hasdi berkata gajah jantan yang ditangkap ini dipercayai daripada kumpulan lebih 10 ekor gajah yang dikatakan menimbulkan kebimbangan kepada kira-kira 300 penduduk Orang Asli di Kampung Aring 5, Gua Musang sejak tiga bulan lalu.

Beliau berkata sepasukan anggota Perhilitan melakukan siasatan di kawasan penempatan berkenaan sejak 30 September lalu dan melakukan kawalan waktu malam serta memasang lampu biru sebagai langkah menghalang pencerobohan gajah.

Katanya, Perhilitan akan sentiasa memantau keadaan di perkampungan terbabit bagi mengesan sebarang pergerakan haiwan liar itu. - BERNAMA

Berita Harian X