Sabtu, 20 Oktober 2018 | 10:33am
SULTAN, Sultanah Kedah dibawa berarak temui rakyat menaiki 'Bahtera Layang Emas'. - Foto BERNAMA

Sultan, Sultanah Kedah dibawa berarak 'temui' rakyat naiki Bahtera Layang Emas

ALOR SETAR: Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff hari ini berkenan ‘bertemu’ rakyat jelata di negeri ini dengan menaiki ‘Bahtera Layang Emas’ bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ke-29 pada Isnin depan.

Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan yang bermula kira-kira pukul 8.30 pagi itu diserikan dengan Lambaian Kasih kira-kira 10,000 pelajar sekolah di sekitar daerah Kota Setar yang terdiri daripada pelbagai kaum yang berbaris di sepanjang bahu jalan meliputi laluan perarakan sepanjang 3.2 kilometer yang melibatkan enam ‘check point’ utama.

Rakyat jelata yang mula menunggu di sepanjang jalan seawal 7 pagi di laluan yang bermula dari Dataran Wisma Darul Aman hingga ke Dataran Medan Bandar itu, enggan melepaskan peluang mengabadikan kenangan dan menyaksikan istiadat bersejarah yang kali terakhir diadakan kira-kira enam dekad lalu, iaitu pada 20 Februari 1959.

Ketika dibawa berarak menaiki bahtera sepanjang 25 meter dengan ketinggian lima meter itu, baginda berdua tidak putus-putus melemparkan senyuman dan sekali-sekala melambaikan tangan kepada ribuan rakyat jelata yang ingin melihat wajah baginda berdua secara lebih dekat.

Bermula di Dataran Wisma Darul Aman dengan iringan pancaragam Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), 10 ekor kuda dari Unit Berkuda PDRM dengan penunggangnya lengkap berpakaian istiadat nombor satu, menerajui Bahtera Diraja yang dinaiki baginda berdua sebagai simbolik perisai betapa pentingnya mempertahankan Kesultanan Kedah yang tertua di dunia sejak 1136 sehinga hari ini.

Rusuk kiri dan kanan bahtera itu diiringi oleh seramai 20 Pegawai Tadbir Negeri bermula dari Wisma Darul Aman hingga ke Dataran Medan Bandar berhampiran Masjid Zahir.

Turut sama berarak mengiringi bahtera itu ialah seramai 40 penghulu yang lengkap berpakaian istiadat sebagai seorang penghulu.

Tiga ekor gajah yang diberi nama Pian, Alam dan Rambai yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang merupakan komponen perarakan yang turut menjadi perhatian rakyat jelata pada acara itu.

Gajah-gajah berkenaan merupakan simbolik kekuatan pemerintahan Diraja dan zaman kegemilangan raja-raja Melayu suatu masa dahulu.

Di check point kedua iaitu di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, sembilan ekor kuda daripada Pasukan Berkuda Island Horses yang dibawa oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pula menyertai perarakan itu yang mana penunggangnya lengkap berpakaian Pahlawan Melayu bagi melambangkan ciri-ciri hulubalang yang taat setia serta kasih yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan.

Pasukan Pancaragam Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Keat Hwa, Alor Setar turut menyertai perarakan bermula di check point itu.

Menyerikan istiadat di check point ketiga pula ialah perarakan pelajar sekolah terdiri daripada 40 orang daripada pelbagai kaum dan usia yang lengkap berpakaian pengawas sekolah sebagai simbolik generasi pelapis pada masa hadapan.

Sementara itu, seramai 60 anggota iaitu masing-masing 20 daripada Tentera Darat (Markas Briged ke-6, Infantri Malaysia Sungai Petani), Tentera Laut (Markas Wilayah Laut 3, Tentera Laut Diraja Malaysia Langkawi) dan Tentera Udara Diraja Malaysia Kepala Batas bersama-sama berarak mengiringi Bahtera Diraja di check point keempat selain penyertaan 40 pegawai agama dari pejabat agama dan kehakiman syariah.

Perarakan menjadi lebih meriah dan berwarna-warni di check point kelima apabila seramai 20 anggota Pegawai Tadbir Persekutuan daripada pelbagai cabang perkhidmatan yang berpakaian istiadat nombor satu iaitu Tunic Jacket bersama-sama berarak mengiringi Bahtera Diraja dengan kehadiran 80 pemain Pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma.

Di check point terakhir pula, perarakan berkenaan disertai oleh Ketua Istiadat Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah bersama 10 orang Datuk Bergelar yang dikenali sebagai Orang Besar 16 dan 40 orang Pegawai Tadbir Negeri yang lengkap berpakaian Baju Sikap.

Istiadat perarakan itu dimeriahkan dengan persembahan pelajar dan guru di check point tiga, empat dan lima yang meliputi persembahan tarian, senam sihat, wushu, taekwondo, diablo (yoyo Cina), nyanyian solo, persembahan Band Cilik dari SK Seri Muda dan persembahan Band Pocket Show Universal Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim.

Setibanya di Dataran Medan Bandar, baginda kemudiannya berkenan menerima Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang terdiri daripada 136 pegawai Briged 6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jitra.

Sejurus selepas itu, lagu ‘Allah Selamat Sultan’ dimainkan serentak dengan tembakan 21 das meriam sebelum baginda berangkat memeriksa pasukan KKU yang sekali lagi menyembah Hormat Diraja kepada baginda.

Lagu ‘Allah Selamat Sultan’ dimainkan sekali lagi selepas itu sebelum Sultan dan Sultanah berangkat pulang diikuti kerabat-kerabat diraja dan dif-dif jemputan.

Berangkat sama ke istiadat perbarisan kehormatan itu ialah Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Arif.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria.

Berangkat sama, Tunku Bendahara Kedah Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan isteri Toh Puan Bendahara Kedah Datin Seri Diraja Puan Seri Datuk Nora Abdullah; Tunku Temenggong Kedah Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin. – BERNAMA

Berita Harian X