Isnin, 22 Oktober 2018 | 3:59pm
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail. - NSTP/Zulkepli Osman
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail. - NSTP/Zulkepli Osman

80 peratus kawasan penerokaan haram Cameron Highlands dibersihkan

KUANTAN: Pihak berkuasa negeri ini sudah membersihkan 80 peratus kawasan penerokaan haram yang dijalankan secara berleluasa di Cameron Highlands menerusi Ops Gading sejak 2014.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, berkata baki 20 peratus kawasan penerokaan haram di tanah tinggi itu dalam pemantauan pihaknya menerusi Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.

“Dalam mesyuarat tadi (Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang) ada dibangkitkan mengenai perkara ini.

“Kita dimaklumkan kejadian tanah runtuh yang berlaku di sana bukan disebabkan oleh penerokaan haram sebaliknya berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di luar kebiasaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat di bilik mesyuarat Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, hari ini.

Muhammad Safian berkata, operasi penguatkuasaan sentiasa berjalan bagi memastikan tidak muncul kawasan penerokaan haram yang baharu.

Beliau mengulas laporan media tempatan mengenai penerokaan tanah di Cameron Highlands kini semakin parah dan berada di tahap membimbangkan walaupun pelbagai operasi termasuk Ops Gading dilaksanakan sebelum ini.

Pencerobohan tanah itu berlaku disebabkan gejala rasuah yang semakin membimbangkan dalam kalangan anggota agensi berkaitan di kawasan pelancongan itu.

Berdasarkan statistik, sejak 2015 sehingga kini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat tangkapan terhadap 23 individu dan mendapat izin mendakwa terhadap 11 individu atas pelbagai kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 berkaitan isu terbabit.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X