Rabu, 24 Oktober 2018 | 10:03am
ZURAIDAH Azlinda Mehad, membersihkan najis di bahagian stoma pada perut Muhammad Rezfan berikutan anak bongsunya itu dilahirkan tanpa lubang dubur di rumah orang tuanya di Kampung Pulau Mas, Simpang Tiga Sungai Daun, di sini. - Foto Noorazura Abdu Rahman

Keluarga bayi malang rayu bantuan

YAN: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah penderitaan yang ditanggung oleh seorang bayi sindrom down berusia enam bulan yang turut mengidap empat penyakit berkaitan jantung selain dilahirkan tanpa lubang dubur.

Ibunya, Zuraidah Azlinda Mehad, 34, berkata Muhammad Rezfan dikesan mengidap penyakit itu sejak lahir malah kedua belah matanya turut diselaputi katarak.

“Anak saya sudah menjalani pembedahan untuk melakukan stoma pada usia dua hari. Dia juga disahkan mengidap masalah jantung iaitu saluran utama jantungnya sempit dan berlubang di tengah, injap jantung turut menerima darah tidak beroksigen dan jantungnya lebih ke kanan.

“Doktor akan melakukan pembedahan jantung jika beratnya sudah mencecah 10 kilogram namun bagi pembedahan katarak mata, ia akan dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bulan depan,” katanya ketika ditemui di rumah orang tuanya di Kampung Pulau Mas, Simpang Tiga, Sungai Daun, di sini.

Ibu kepada empat orang anak ini berkata, wang gajinya sebanyak RM850 sebagai guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) hanya cukup untuk membeli susu khas, tiub makan dan lampin pakai buang yang mencecah hampir RM800 sebulan.

Katanya, makan minum keluarganya kini ditanggung oleh orang tuanya selain persekolahan dua orang anak berusia 12 dan enam tahun.

Sementara itu, suami Zuraidah, Mohd Fazli Muhamad Radzuan, 34, berkata dia terpaksa berhenti kerja tujuh bulan lalu untuk menjaga isterinya yang kerap dimasukkan ke wad akibat masalah radang hati serta pendarahan sebelum bersalin.

Katanya, apabila Muhammad Rezfan dilahirkan, masalah sama turut berlaku dan dia terpaksa berulang alik ke hospital hampir setiap minggu.

“Saya memang mahu bekerja tapi tiada siapa yang berani mengasuh Muhammad Rezfan. Dia makan melalui tiub selain turut bimbang akan terkena serangan jantung. Isteri saya tidak boleh memandu, jika berlaku sesuatu, anak kami perlu segera dibawa ke hospital

“Jadi sayalah yang terpaksa berkorban untuk menjaga Muhammad Rezfan, penjagaan anak saya amat rumit. Saya terpaksa tebalkan muka pinjam duit sana sini demi anak saya, rumah yang saya beli 11 tahun lalu juga sudah dilelong.

“Saya sangat berharap bantuan orang ramai bagi meringankan beban yang kami pikul. Saya juga mahu melihat Muhammad Rezfan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain walaupun dia perlu melalui banyak lagi pembedahan selepas ini yang memerlukan kos yang sangat tinggi,” katanya.

Bagi mereka yang mahu membantu, Mohd Fazli boleh dihubungi menerusi nombor 014-6781582/0169082423 atau menerusi nombor akaun BSN Zuraidah (0213829000035611).

Berita Harian X