Khamis, 25 Oktober 2018 | 2:07pm
KETUA Menteri, Adly Zahari berucap pada Majlis Lafaz dan Menandatangani IBR di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

Melaka perkukuh perkhidmatan lafaz IBR

AYER KEROH: Seramai 56 pegawai dan kakitangan kerajaan negeri, hari ini, menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata langkah itu diambil bagi memperkukuhkan perkhidmatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata, inisiatif itu juga memperlihatkan komitmen kerajaan dalam membendung gejala rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri.

“Hari ini, seramai 56 pegawai dan kakitangan melafazkan ikrar IBR dengan diketuai oleh Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri, Datuk Mariam Ilias.

“Dengan lafaz ini, ia membuktikan kesungguhan semua untuk melaksanakan tanggungjawab serta akauntabiliti dalam menjauhi diri daripada sebarang gejala rasuah,” katanya selepas Majlis Lafaz dan Menandatangani IBR di pejabatnya di Seri Negeri, di sini.

Hadir sama, Pengarah SPRM negeri, Penolong Kanan Pesuruhjaya Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail.

Mengulas lanjut, Adly berkata, selain pegawai dan kakitangan kesemua EXCO kerajaan negeri juga sudah melafazkan dan menandatangani IBR bagi memastikan tiada pembabitan dalam gejala rasuah.

“Melaka kini dalam proses serta kemas kini dokumen sebelum kesemua EXCO tampil mengisytiharkan harta mereka seperti dilakukan di negeri lain.

“Ia dijangka dimuktamadkan secepat mungkin,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X