Sabtu, 27 Oktober 2018 | 9:21am
PENGUSAHA ikan sangkar, Khaidir Ahmad (kiri), bersama pekerjanya menggantikan tong dan mengosongkan sangkar sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan November ini. - Foto Nazirul Roselan
PENGUSAHA ikan sangkar, Khaidir Ahmad (kiri), bersama pekerjanya menggantikan tong dan mengosongkan sangkar sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan November ini. - Foto Nazirul Roselan

Pengusaha kosongkan sangkar, bekalan patin berkurangan

TEMERLOH: Bekalan ikan patin dari daerah ini dijangka berkurangan dalam tempoh tiga bulan berikutan tindakan pengusaha mengosongkan sangkar masing-masing untuk menghadapi musim tengkujuh.

Langkah mengosongkan sangkar itu bagi mengelakkan mereka mengalami kerugian kerana berdepan risiko kerosakan sangkar pada musim hujan berikutan peningkatan paras air Sungai Pahang.

Pengerusi Persatuan Penternak dan Peniaga Ikan Sangkar Temerloh, Khaidir Ahmad, berkata penternak mula mengosongkan sangkar dan menghentikan sementara waktu untuk meletakkan benih ikan baharu sehingga tamat musim tengkujuh

“Penternak tidak mahu menanggung rugi pada musim tengkujuh kerana kemungkinan sangkar mereka akan pecah atau hanyut dibawa arus.

“Jadi mereka mula mengambil langkah menghabiskan ikan yang ada dan kosongkan sehingga bulan Februari nanti,” katanya ketika ditemui NSTP di sekitar sangkarnya di Kampung Lebak dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khaidir berkata, dia sendiri pernah mengalami kerugian lebih RM1 juta ketika banjir besar melanda daerah itu pada 2014 yang dijadikannya sebagai iktibar untuk lebih berjaga-jaga.

“Kami mulai mengosongkan sangkar sejak minggu lalu, jual bagi habis dan tidak masuk benih baharu. Saya mungkin letak benih baru pada Februari depan berikutan ramalan tengkujuh dijangka bermula pertengahan November ini,” katanya.

Katanya, selain mengosongkan sangkar mereka turut menggantikan tong yang rosak selain mengetatkan tali supaya ia tidak mudah hanyut bila banjir melanda.

Sementara itu, pengusaha patin sangkar di Kampung Bangau Tanjung, Mohd Haziman Hanipah, 30, berkata dia hanya mengambil pendekatan mengetatkan tali dan menggantikan tong rosak walaupun sedar musim tengkujuh kian hampir.

“Saya sedar risiko (kerugian pada musim tengkujuh), saya akan bersiap sedia di pondok khas berhampiran untuk bertindak sekiranya sesuatu berlaku,” katanya.

Dianggarkan hampir 300 pengusaha mengusahakan sangkar patin dan tilapia di sepanjang persisiran Sungai Pahang.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X