Isnin, 29 Oktober 2018 | 11:54am
LEBIH 100 pelajar Sekolah Menengah (SM) Teknik Bukit Piatu, sudah kembali bersekolah seperti biasa selepas mendapatkan rawatan dipercayai akibat keracunan makanan pada Rabu lalu, di Bukit Piatu. Foto NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

Pelajar keracunan makanan kembali ke sekolah

MELAKA: Jabatan Pendidikan Melaka mengesahkan lebih 100 pelajar Sekolah Menengah (SM) Teknik Bukit Piatu, di sini, sudah kembali bersekolah selepas mendapatkan rawatan dipercayai akibat keracunan makanan, Rabu lalu.

Pengarahnya, Abu Bakar Sahari, berkata pihak sekolah juga sudah mengambil tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) susulan kejadian membabitkan seramai 106 pelajar sekolah itu.

“Pegawai kesihatan daerah hadir untuk pemeriksaan, bagaimanapun bagi bekalan makanan, pihak kontraktor lain dilantik mengambil alih tugas.

“Kontraktor baharu yang membekalkan makanan dan minuman itu bagaimanapun tidak memasak di dapur sekolah,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sementara itu, EXCO Kesihatan negeri, Low Chee Leong, berkata pelajar Tingkatan Empat dan Lima sekolah terbabit dilaporkan mengadu sakit perut, loya dan muntah disyaki selepas makan sambal udang pada waktu tengah hari di dapur sekolah berkenaan.

Beliau mendakwa, pelajar mengatakan lauk makanan itu tidak segar dan penyediaan cili dimasak pada jam 10 malam, sebelum hari kejadian dan ditinggalkan tanpa dimasukkan ke dalam peti ais.

“Pada jam 10 pagi esoknya (Rabu), cili itu dimasak sambal udang. Ketika itu, semua pelajar hanya makan di dewan makan asrama,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, dapur asrama diarah ditutup 14 hari sehingga 9 November depan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC).

“Sampel makanan sebenar tidak dapat diambil kerana dibuang pengusaha asrama dan keputusan belum diperoleh,” katanya.

Berita Harian X