Selasa, 30 Oktober 2018 | 2:45pm
PEGAWAI Daerah Kuantan, Datuk Zaliza Zulkepli (tengah) mengagihkan buah-buahan pada kKempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan peringkat sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, Kuantan, kelmarin. - Foto Mohd Rafi Mamat
PEGAWAI Daerah Kuantan, Datuk Zaliza Zulkepli (tengah) mengagihkan buah-buahan pada kKempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan peringkat sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, Kuantan, kelmarin. - Foto Mohd Rafi Mamat

3 tan pelbagai buah habis diagih kepada pelajar

KUANTAN: Dalam masa tidak sampai sejam lebih tiga tan pelbagai jenis buah-buahan habis diagihkan kepada murid dan pelajar sempena Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan peringkat sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, di sini, kelmarin.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, Rosli Aw Da berkata, murid dan pelajar berpeluang menikmati pelbagai buah-buahan seperti rambutan, tembikai, duku, dokong, nangka, nanas, jambu, mangga dan pisang secara percuma.

Menurutnya, pada program terbabit turut diadakan pameran buah nadir dan gerai jualan usahawan FAMA termasuk pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, ukiran tembikai serta video kreatif pelajar.

Katanya, tujuan utama program itu diadakan adalah bagi memberi peluang kepada murid dan pelajar untuk menikmati buah-buahan tempatan yang segar terus dari ladang.

“Hanya dalam masa sejam sahaja lebih tiga tan buah yang disediakan habis diagihkan kepada kira-kira 300 murid dan pelajar di daerah ini yang dilihat begitu teruja menikmati buah segar.

“Sebagai agensi kerajaan kita akan terus berusaha menggalakkan generasi muda termasuk pelajar meminati pelbagai buah-buahan tempatan,” katanya.

Program berkenaan dirasmikan Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Zaliza Zulkepli.

Rosli menambah, untuk menambahkan pengetahuan generasi muda, pihaknya turut mengadakan pameran pelbagai buah nadir yang semakin sukar ditemui seperti kelubi, kulim, perah, ara, tampoi dan salak.

“Saya berharap dengan penganjuran program ini minat generasi muda termasuk pelajar terhadap buah-buahan tempatan dapat terus kekal walaupun mereka didedahkan dengan buah import yang banyak di pasaran.

“Kita akan terus melakukan pelbagai program dan kempen untuk menggalakkan semua lapisan masyarakat menikmati buah-buahan tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau menegaskan FAMA akan terus berusaha membantu pekebun dan usahawan buah-buahan untuk memasarkan hasil mereka.

Katanya, sebagai contoh sebelum ini setiap kali musim durian masalah lambakan raja buah itu akan berlaku hingga menyebabkan pekebun menanggung kerugian namun selepas diperkenalkan tempoyak dan pes durian masalah terbabit kini tidak berlaku lagi.

Berita Harian X