Khamis, 1 November 2018 | 3:45pm
EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab (kiri) membuat lawatan kerja di LTAM, Batu Berendam, hari ini. - Foto ihsan pembaca
EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab (kiri) membuat lawatan kerja di LTAM, Batu Berendam, hari ini. - Foto ihsan pembaca

Serlah kembali potensi penumpang di LTAM

MELAKA: Kesediaan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia Berhad (Air Asia) untuk beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, di sini, mulai tahun depan berupaya melonjak kapasiti penggunaan terminal lapangan terbang di negeri ini.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata ketika ini kapasiti penggunaan LTAM adalah hanya kira-kira empat peratus walaupun lapangan terbang itu boleh menampung kapasiti sehingga 1.5 juta orang penumpang setahun.

“Sepanjang tempoh tahun lalu, sejumlah 64,000 penumpang direkodkan menggunakan LTAM, malah sehingga September tahun ini hanya 37,000 penumpang yang menggunakan lapangan terbang ini.

“Setakat ini hanya syarikat Wings Air dan Malindo Air yang beroperasi di LTAM iaitu Wings Air (Melaka-Pekan Baru) dan Malindo Air (Melaka-Pulau Pinang). Masing-masing satu penerbangan sehari,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di LTAM, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Adly Zahari dilaporkan berkata, Melaka bersedia untuk meningkatkan kemudahan fasiliti LTAM susulan kesediaan Air Asia untuk menghubungkan negeri ini dengan beberapa laluan domestik dan antarabangsa mulai tahun depan.

Ia susulan pertemuan EXCO Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dengan Air Asia minggu lalu dengan syarikat penerbangan terbabit memberi komitmen untuk memulakan operasi di LTAM dengan laluan ke Pulau Pinang, Pekan Baru, Langkawi dan Singapura disusuli laluan ke Medan, Jakarta; Shantou, China; dan Saigon, Vietnam menggunakan pesawat Airbus A320.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes turut bersetuju supaya laluan ke Kota Kinabalu, Sabah juga dimasukkan dalam senarai lokasi penerbangan di Melaka.

Mohd Sofi berkata, panjang landasan LTAM sedia ada adalah 2,135 meter dan boleh menerima pesawat jenis Boeing 737-400 dan Airbus 320.

“Malah, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) juga memberikan insentif kepada syarikat penerbangan menerusi rebat untuk Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) sejak Mac tahun lalu.

“Selain syarikat penerbangan komersil biasa, kita juga mengalu-alukan mana-mana syarikat persendirian lain untuk menjalankan penerbangan secara ‘chartered’ dan lain-lain,” katanya.

Berita Harian X