Sabtu, 3 November 2018 | 12:21pm
Pengundi bersesak mendaftar sebelum dibenarkan masuk ke pusat pengundian cabang Batu Sapi pada Pemilihan PKR di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lupak Meluas, Batu Sapi. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Redah laut, naik bas untuk mengundi

SANDAKAN: Melalui perjalanan dua jam menggunakan bot sebelum menaiki bas semata-mata untuk mengundi pada Pemilihan PKR.

Ia antara cabaran dilalui warga tua, Jumain Kamban, 67, dari Pulau Lubukan untuk sampai ke Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lupak Meluas, di Batu Sapi, di sini.

Bekas nelayan itu yang pertama kali mengundi pada pemilihan parti berkata, dia menaiki bot penambang dari kampungnya pada jam 7 pagi bersama empat rakan dan tiba di jeti Pasar Umum Sandakan pada jam 9 pagi ini.

Mereka kemudian menaiki bas dari bandar Sandakan untuk sampai ke pusat pengundian.

“Tambang bot sekali naik RM10 dari kampung, manakala tambang bas RM1.70 untuk perjalanan sehala.

Pengundi bersesak mendaftar sebelum dibenarkan masuk ke pusat pengundian cabang Batu Sapi pada Pemilihan PKR di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lupak Meluas, Batu Sapi. POLIANA RONNIE SIDOM

“Kami harap calon yang dipilih menjadi ketua adalah pemimpin yang boleh membantu memajukan kampung dan paling penting, boleh ditemui untuk kami ajukan masalah selepas menang, bukan cuma boleh jumpa waktu pemilihan,” katanya ketika ditemui NSTP di sini, sebentar tadi.

Jumain berkata, kampungnya yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau masih memerlukan banyak kemudahan, terutama bekalan air bersih.

Sementara itu, tinjauan pada pemilihan cabang Batu Sapi mendapati pengundi mula berkumpul seawal jam 8 pagi, namun proses pengundian cuma bermula kira-kira jam 9 pagi.

Cabang itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan ketua termasuk calon wanita iaitu bekas pemangku Ketua Cabang, Baby Anne Alsali yang dicabar Abidin Sukor dan Umar Baki Aliudin.

Berita Harian X