Ahad, 4 November 2018 | 5:45pm
Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyampaikan sumbangan keperluan barangan dan duit raya kepada penerima sumbangan sempana Majlis Prihatin Sempena Deepavali 2018 di Johor Bahru. - Foto Mohd Sabran Md Sani

Permaisuri Johor berkenan hadiri Majlis Prihatin Sempena Deepavali 2018

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, berkenaan menghadiri Majlis Prihatin Sempena Deepavali 2018 di Holiday Villa di sini, hari ini.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Hotel Holiday Villa Centre Johor Bahru meraikan seramai 300 tetamu jemputan.

Antara diraikan ialah kanak-kanak istimewa, warga emas, penghuni rumah kebajikan dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pendas.

Turut berangkat, isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Khaleeda Bustamam; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan suami, Dennis Muhammad Abdullah.

Terdahulu, keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah pada jam 3 petang diiringi kanak-kanak dan penari burung merak membentuk ‘kolum’ di luar dewan.

Pelbagai persembahan menarik mengiringi keberangkatan masuk Permaisuri Johor membabitkan Punjabi Folk Drum dan tarian Swagatham Baratanatyam.

Seramai 102 keluarga dan kanak-kanak pelbagai kaum menerima barangan keperluan harian sebagai lambang keprihatinan membantu golongan kurang bernasib baik menyambut perayaan masing-masing.

Tunku Idris yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia mengiringi Permaisuri Johor sempena Majlis Kurniaan Penyerahan Sumbangan.

Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Bulan Sabit Merah Malaysia mendahului kurniaan penyerahan sumbangan bernilai RM10,000 diikuti Austin Height International School berjumlah RM18,000.

Kedua-dua sumbangan itu bagi mengisi Tabung Bencana Antarabangsa Sulawesi Bulan Sabit Merah Malaysia.

Plenitude Berhad pula menyampaikan kurniaan cek bernilai RM10,000 kepada MRC Community Services.

Berita Harian X