Rabu, 7 November 2018 | 2:48pm
KHALID Abdul Samad. - NSTP/Amran Hamid

DBKL lulus 102 projek pembangunan bandar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 102 projek pembangunan bandar sudah diluluskan di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima 176 projek permohonan dan hanya sebahagian saja diluluskan setakat ini.

Katanya, terdapat 74 projek yang masih belum diluluskan disebabkan percanggahan terhadap pelan asal.

“Pembangunan ini sudah diberi kelulusan tetapi dihentikan kerana bercanggah dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.

“Ia adalah projek pembangunan bercampur dalam pelbagai kategori termasuk rumah transit, RUMAWIP (Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan) dan PPAM (Perumahan Penjawat Awam Malaysia) maka kita akan kaji semula.

“Anggaran nilai keseluruhan projek ini lebih RM10 bilion,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Menteri Ketiga, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri 11 Ahli dan wakil Parlimen Wilayah Kuala Lumpur serta Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Sementara itu, Khalid juga berkata perlantikan seramai lapan Ahli Lembaga Penasihat DBKL yang baharu akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini.

“Kita sudah mempunyai senarai dan majlis angkat sumpah akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Sebahagian besar adalah golongan profesional namun ada juga ahli politik yang akan dilantik kerana mampu beri pandangan kepada DBKL dalam menghadapi cabaran dan perancangan 2040,” katanya.

Sebelum ini Khalid mendesak Ahli Lembaga Penasihat DBKL atas lantikan politik atau ‘tiket UMNO’ meletakkan jawatan selepas kerajaan bertukar tangan.

Berita Harian X