Ahad, 11 November 2018 | 1:06pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menunjukkan buku ucapan bajet ketika hadir pada Pembentangan Bajet 2019 di Dewan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

Belanjawan Kedah 2019 realistik, bukan syok sendiri

ALOR SETAR: Belanjawan Kedah 2019 menampilkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM853.8 juta dengan jangkaan defisit 8.14 peratus, menurun berbanding 10.19 peratus pada 2018.

Belanjawan itu disifatkan realistik, berhemah dan bukannya syok sendiri seperti amalan pembentangan belanjawan terdahulu.

Selaras tema ‘Harapan Bersama, Makmurkan Kedah’, belanjawan sulung Pakatan Harapan (PH) negeri itu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berpaksikan kepada agenda nasional seperti digariskan Kerajaan Persekutuan bagi menentukan hala tuju sama.

Katanya, ia berlandaskan kepada enam strategi iaitu mensejahterakan dan memakmurkan rakyat, meningkatkan pertumbuhan koridor ekonomi negeri, mengupayakan modal insan, menggilap kecemerlangan bakat, menerapkan maqasid syariah dan mengamalkan amalan terbaik global.

Mukhriz berkata, daripada RM853.8 juta itu, peruntukan mengurus membabitkan RM768 juta dengan daripada jumlah itu sebanyak RM108 juta diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan, manakala perbelanjaan pembangunan sebanyak RM86 juta dengan anggaran hasil RM710 juta.

“Kita mahu berbelanja secara berhemah kerana tidak mahu amalan terdahulu di mana belanjawan nampak besar akhirnya tak dibelanja sepenuhnya dan hasilnya pun tak mencapai sasaran justeru kali ini kita lebih realistik supaya apa yang kita sebut sebagai hasil boleh didapatkan 100 peratus.

“Anggaran perbelanjaan mengurus untuk 2019 berkurang sebanyak RM10.61 peratus berbanding 2018, manakala anggaran hasil RM710 juta dijangka lebih realistik untuk dicapai berbanding RM779.5 juta yang dianggarkan pada 2018.

“Justeru, dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan kerajaan, Belanjawan 2019 menganggarkan defisit sejumlah RM57.78 juta atau 8.14 peratus iaitu penurunan berbanding 10.19 peratus pada 2018,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mukhriz berkata, kerajaan negeri mencadangkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada 4,738 penjawat awam lantikan negeri bagi Gred 54 dan ke bawah membabitkan lantikan tetap dan kontrak dengan pembayaran dibuat pada Disember ini.

Beliau berkata, susulan tiada bantuan khusus diumumkan untuk penoreh getah pada Belanjawan Nasional 2019 lalu, kerajaan negeri akan merayu kepada kerajaan Persekutuan supaya dapat memperuntukkan bantuan bagi melegakan tekanan hidup yang dihadapi penoreh getah.

Katanya, pihaknya melihat masih ada ruang untuk mendapatkan khabar gembira buat penoreh susulan pertimbangan untuk membentangkan belanjawan tambahan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini.

“Kerajaan negeri benar-benar bersimpati dan merasai kepayahan dihadapi penoreh namun hakikatnya kerajaan negeri tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menghulurkan bantuan tetapi tidak pula kami akan membiarkan keadaan itu begitu sahaja.

“Justeru saya sendiri akan bangkitkan dalam perbahasan Belanjawan Nasional 2019 di Dewan Rakyat bersama dengan Ahli Parlimen lain dari Kedah untuk merayu kerana kami beranggapan ada sedikit ruang berikutan selagi belum habis perbahasan maknanya belanjawan itu belum diluluskan, ” katanya.

Mukhriz berkata, bagi industri padi pula, kerajaan negeri akan meneruskan membangunkan Projek Estet Padi supaya pengeluaran sebanyak 10 tan sehektar dapat dicapai selain meningkatkan pengeluaran padi organik di Sik dan Padang Terap sebagai sokongan kepada pengeluaran padi biasa dengan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM9.8 juta termasuk industri agro.

Katanya, kerajaan negeri juga akan membangunkan program Rancangan Perumahan Awam Negeri Kedah (RPA-K) dan Skim Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi polisi Satu Rumah Satu Keluarga.

"Bagi aspek pendidikan, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM2.5 juta untuk program yang menyumbang kepada peningkatan penyampaian ilmu pengetahuan termasuk mewujudkan Projek Perintis Kelas Pintar di sekolah terpilih sebagai kemudahan untuk mempelajari Dasar Nasional Industri 4.0.

"Kita juga memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta bagi kerja menaik taraf masjid selain RM2 juta lagi untuk memperkemaskan struktur pengurusan, serta menaik taraf Pejabat Agama dan Mahkamah Syariah, " katanya.

Berita Harian X