Ahad, 11 November 2018 | 6:08pm
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merasmikan majlis pecah tanah projek perumahan mampu milik Mahkota Kampar, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

Pemaju swasta bantu capai sasaran bina 50,000 rumah mampu milik di Perak

KAMPAR: Kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama pihak pemaju swasta dalam melaksanakan projek pembangunan rumah mampu milik di Perak bagi menjayakan sasaran 50,000 rumah mampu milik dibina dalam tempoh lima tahun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata tentunya kerajaan negeri tidak mampu membina keseluruhan rumah berkenaan sendiri namun dengan bantuan pihak swasta matlamat itu akan dapat dicapai.

“Apa yang kerajaan negeri lakukan adalah contohnya dengan Kumpulan Syarikat NCT (NCT Group) ini yang saya percaya memang sebuah syarikat pemaju yang mantap dengan pelbagai projek pembangunan.

“Sudah tentunya kita (kerajaan negeri) mengalu-alukan agar mereka dapat melabur dengan lebih besar lagi di Perak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah projek perumahan mampu milik Mahkota Kampar, di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Pengarah Urusan Kumpulan NCT Group, Datuk Seri Yap Ngan Choy; Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Khairul Amir Mohammad Zubir dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak, Yuhanas Auree Kamaruddin.

Mahkota Kampar adalah projek dimajukan NCT Group yang berkonsepkan bandar selamat terletak kira-kira 5 kilometer daripada bandar Kampar dengan keluasan 13.8 hektar membabitkan 352 unit rumah setingkat dan 24 unit rumah kedai dua tingkat.

Ahmad Faizal berkata, Mahkota Kampar memang tergolong dalam rumah mampu milik dengan harga seunit adalah antara RM173,000 hingga RM253,000 yang mana rakyat dengan gaji bulanan RM3,000 mampu memilikinya.

Beliau berkata, pemaju perlu menunjukkan komitmen dan kemampuan dalam membangunkan lebih banyak perumahan seperti Mahkota Kampar ini dan sudah pasti kerajaan negeri akan memberi lebih banyak peluang untuk kerjasama dalam projek pembangunan lain.

“Bagaimanapun selain pembangunan rumah mampu milik, saya sendiri menetapkan pemaju untuk menitik beratkan pembinaan rumah kos rendah di mana kerajaan negeri sedang giat membinanya iaitu Rumah Perakku yang dijual dengan harga bawah RM70,000.

“Jadi kita akan berbincang dengan pemaju bagaimana menjayakan perkara ini yang juga fokus utama kerajaan negeri bukan sekadar rumah mampu milik,” katanya.

Menurutnya, beliau faham adalah sukar untuk pemaju membina rumah kos rendah di kawasan yang sudah membangun seperti di Kampar, tetapi ia perlu diusahakan bagaimana untuk mengadakan rumah murah bagi memenuhi permintaan rakyat yang memerlukan.

Sementara itu, Ngan Choy pula berharap dengan kejayaan projek pembangunan Mahkota Kampar ia akan membuka lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi projek pembangunan lain di Perak.

Berita Harian X