Isnin, 12 November 2018 | 1:46pm
MUKHRIZ Mahathir. - NSTP/Amran Hamid

Kedah mohon Kerajaan Pusat tukar hutang jadi geran projek air

ALOR SETAR: Kedah akan memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk ‘menukar’ hutang yang dibuat daripada negeri bagi projek menaiktaraf perkhidmatan bekalan air di luar bandar kepada bentuk geran.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata permohonan mengenai perkara itu pernah dirunding bersama pentadbiran kerajaan terdahulu namun ia tidak mencapai kata sepakat.

“Justeru kita berharap, kerajaan Persekutuan pertimbang untuk mengurangkan hutang atau penghapusan kredit terhadap jumlah hutang kerajaan negeri dengan pusat.

“Ini kerana sewaktu saya menjadi Menteri Besar pada pentadbiran kerajaan sebelum ini, memang ada perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memperhalusi apa sebenarnya hutang negeri dengan pusat dan jika ia berkaitan dengan projek air ia sepatutnya diberi dalam bentuk geran, ” katanya menjawab soalan (PAS-Datuk Dr Mohd Hayati Othman) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini.

Mohd Hayati ingin tahu sama ada kerajaan Persekutuan ada memberikan diskaun terhadap jumlah hutang yang dibuat Kedah sehingga kini.

Pada masa sama menjawab soalan The Swee Leong (DAP-Kota Darul Aman) berhubung jumlah hutang yang dibuat kerajaan negeri sehingga Oktober tahun ini, Mukhriz berkata, ia adalah sebanyak RM2.54 bilion.

Beliau berkata, tujuan pinjaman ini dibuat antaranya untuk rancangan bekalan air di Kedah dengan faedah bayaran yang dikenakan antara kosong hingga dua peratus.

“Kerajaan negeri akan membayar balik hutang berdasarkan kemampuan dan kedudukan kewangan semasa selain meneroka sumber hasil atau pendapatan yang baharu bagi membantu meningkatkan pembayaran balik hutang, ” katanya.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan untuk memohon bayaran atau sumbangan daripada kerajaan Persekutuan bagi sebarang tindakan pembatalan pembalakan di Kedah seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2019.

“Mengenai pampasan pembatalan pembalakan setakat ini ia masih berkecuali sebab tiada jawapan yang meyakinkan namun pada masa sama kerajaan Persekutuan tidak juga menolak.

“Namun jika kita lihat pada pembentangan Belanjawan 2019 memang ada peruntukkan untuk bayaran atau sumbangan terhadap negeri yang membuat keputusan untuk membatalkan pembalakan dan kami akan pertimbangkan untuk memohon, ” katanya.

Berita Harian X