Selasa, 13 November 2018 | 11:33am
MUKHRIZ Mahathir

Kedah kekal dasar pertukaran Tanah Rizab Melayu

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah tidak bercadang mengubah dasar perumahan sedia ada terutama membabitkan pertukaran Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pihaknya tidak akan membuat sebarang perubahan dasar membabitkan perkara terbabit buat masa ini.

“Kita kekalkan dasar sedia ada yang hanya mengekalkan tujuan pertukaran tanah adalah untuk membina hotel atau resort, bangunan perniagaan kedai atau pejabat serta pangsapuri servis sahaja,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Mohd Azam sebelum itu bertanya adakah kerajaan negeri mempunyai dasar baharu membabitkan pembinaan di atas TRM di Kedah.

Terdahulu Mukhriz menjawab soalan Mohd Azam berkaitan jumlah dan status permohonan pertukaran TRM terkini, yang menjelaskan sebanyak 13 permohonan pertukaran antara TRM dan Tanah Luar Simpanan Melayu memerlukan pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri secara serentak dengan permohonan Ubah Jenis Kegunaan Tanah.

Bagaimanapun, beliau berkata, tanah terbabit tidak boleh diambil tindakan kerana masih menunggu laporan Pentadbir Tanah Daerah, Laporan Nilaian dan Perkhidmatan Harta, Kebenaran Merancang dari Majlis Daerah serta Permohonan Ubah Jenis Tanah dari pejabat tanah.

“Permohonan 13 fail terbabit membabitkan TRM seluas 15.3 hektar manakala Tanah Luar Simpanan Melayu seluas 20.2 hektar.

“Ia membabitkan TRM di Kota Setar, Langkawi dan Yan manakala Tanah Luar Simpanan Melayu adalah Kuala Muda, Kubang Pasu dan Pokok Sena,” katanya.

Berita Harian X