Selasa, 13 November 2018 | 1:40pm
AMINOLHUDA Hassan (dua dari kanan) ketika sidang media selepas mengadakan tinjauan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti (SMKTU) Taman Universiti, Skudai. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Syor anggota polis kawal sekolah anjur aktiviti

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mencadangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) supaya dapat memastikan pembabitan atau kehadiran anggota polis di sekitar kawasan sekolah apabila adanya penganjuran sebarang aktiviti sekolah yang membabitkan orang luar.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan, berkata tindakan meletakkan anggota polis di kawasan sekolah seperti itu adalah bagi mengekang berlakunya jenayah, selain memberi tindakan dan pencegahan awal sekiranya ada perkara buruk berlaku.

Selain itu, beliau berkata, kehadiran polis dengan uniform atau kenderaan peronda juga sudah mampu menimbulkan rasa takut mana-mana pihak untuk melakukan perkara menyalahi undang-undang.

“Bagi saya, walaupun sekolah ada menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selain pegawai keselamatan sedia ada ketika adanya aktiviti di sekolah, tetapi mereka boleh menjaga sahaja, tetapi tidak boleh menangkap atau membuat pencegahan di peringkat awal.

“Sekiranya pihak sekolah boleh memastikan untuk menempatkan tiga atau empat anggota polis, supaya kehadiran polis ini boleh nampak dab menimbulkan rasa takut hendak melakukan jenayah, terutamanya di kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti, Skudai di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian gaduh dua kumpulan kongsi gelap di kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang, Skudai, yang menyebabkan seorang pemuda 21 tahun maut, kelmarin.

Selain menempatkan anggota polis, Aminolhuda turut mencadangkan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah sekiranya boleh membantu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sunyi dalam sekolah.

Mengulas mengenai kejadian gaduh dan bunuh itu, beliau berkata, ia satu kejadian tidak dijangka yang berlaku memandangkan penganjuran aktiviti di sekolah berkenaan membabitkan masyarakat setempat yang ramai.

“Kita tidak boleh meletakkan kesalahan kepada pihak yang menganjur kerana mereka ada juga menempatkan anggota RELA dan pegawai keselamatan, tetapi insiden ini memang tidak dijangka berlaku,” katanya.

Menurut Aminolhuda, pihak JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga ada memberi khidmat beberapa orang guru bimbingan kaunseling ke sekolah itu bagi memulihkan semangat pelajar serta ibu bapa yang trauma akibat menyaksikan insiden terbabit.

Selain itu, Aminolhuda turut mengingatkan ibu bapa memantau pergaulan anak mereka di luar kawasan sekolah dan memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya mendapati anak mereka terbabit aktiviti tidak sihat.

“Saya mendapat maklumat daripada laporan polis bahawa tidak ramai ahli kongsi gelap ini membabitkan pelajar sekolah, tetapi ada bekas-bekas pelajar yang terbabit.

“Jadi, ini faktor pergaulan rakan luar dan ia adalah di luar kawalan pihak sekolah, maka ibu bapa perlu bertanggungjawab untuk pantau pergaulan anak-anak ini dan jika mereka ini ada masalah, beritahu pihak sekolah, kita boleh bantu beri kaunseling dan nasihat kepada anak-anak ini,” katanya.

Berita Harian X