Jumaat, 16 November 2018 | 6:57pm
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Paul Yong Choo Kiong. - Foto Razif Rosli

Dasar baharu perumahan di Perak akan dilancar

IPOH: Kerajaan Perak akan melancarkan dasar baharu perumahan tidak lama lagi dengan matlamat memastikan harga kediaman kekal rendah dan memberi peluang golongan berpendapatan rendah atau B40, memiliki rumah.

Antara cadangan yang akan dikemukakan menerusi dasar baharu itu ialah mana-mana pemaju yang membangunkan kawasan lebih lapan hektar tetapi tidak membina kediaman kos sederhana rendah dan kos rendah, harus memberi sumbangan dengan nilai tertentu kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong, berkata sumbangan itu kemudian akan digunakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sebagai subsidi untuk pembinaan skim perumahan kos rendah.

“Bagaimanapun, cadangan ini masih dalam perbincangan dan senarai penuh insentif bagi merancakkan lagi pertumbuhan sektor hartanah di negeri Perak, akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Hartanah MyRumah siri kelima anjuran The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di AEON Mall Ipoh Klebang di sini hari ini.

Pameran hartanah membabitkan lima pemaju dan satu syarikat bukan pemaju itu diadakan di kompleks beli-belah berkenaan selama tiga hari bermula hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid; Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib; Ketua Pengiklanan Wilayah NSTP, S Linggaraj dan Pengurus Projek MyRumah, Mohd Haslan Abd Abbas.

Choo Kiong berkata, ketika ini semua pemaju perumahan harus menyiapkan masing-masing 20 peratus rumah mampu milik iaitu yang bernilai RM250,000 seunit ke bawah serta rumah kos sederhana (RM150,000 ke bawah), selain 10 peratus rumah kos rendah (RM70,000 ke bawah), daripada keseluruhan projek perumahan yang mereka bangunkan.

Justeru, katanya, kerajaan negeri sedang berusaha untuk mempelbagai lagi pilihan kepada pemaju yang tidak mampu menyiapkan komposisi projek berasaskan harga sedia ada.

Bercakap pada sidang media kemudiannya, Choo Kiong berkata, antara cadangan lain dalam dasar baharu itu ialah menaikkan nilai rumah kos sederhana di kawasan pusat bandar kepada RM180,000 manakala kawasan lain kekal RM150,000.

Beliau berkata, cadangan kerajaan termasuk membina 50,000 unit rumah mampu milik melalui skim Perakku bukan bertujuan menjadi pesaing kepada pemaju tetapi atas dasar prihatin kepada rakyat khususnya golongan B40 untuk memiliki rumah.

Mengenai program MyRumah, beliau berharap ia menjadi pameran hartanah terulung negara yang bukan saja menawarkan projek menguntungkan rakyat dan pemaju, tetapi juga menjadi pusat maklumat sehenti terbaik bagi sektor hartanah, sekali gus melakukan transformasi sektor berkenaan untuk generasi akan datang, terutama di Perak.

“Terima kasih kepada NSTP kerana menganjurkan program ini yang mensasarkan jualan rumah untuk semua golongan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Berita Harian X