Sabtu, 17 November 2018 | 5:43pm
ONN Mahathir (tengah) bersama barisan anggota jawatankuasa DMJ bersama sepanduk DMJ Tolak Ratifikasi ICERD selepas sidang media selesai membahaskan usul mengenai ICERD pada Persidangan Pertama DMJ, di Johor Bahru. - NSTP

DMJ gesa kerajaan tolak ICERD selaras Perlembagaan Persekutuan

JOHOR BAHRU: Dewan Muda Johor (DMJ) menggesa kerajaan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) selaras Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Usul itu disokong secara majoriti Ahli DMJ pada persidangan pertama hari ini dan menyifatkan langkah berkenaan perlu bagi menjaga keharmonian kaum di Malaysia.

Persidangan itu dipengerusikan Datuk Baderi Dasuki selaku Yang Dipertua Dewan dan menerima cadangan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-Undang, Integriti dan Antarabangsa, Onn Mahathir Md Nasir supaya kerajaan tidak menandatangani ICERD.

Onn Mahathir berkata, pertimbangan lebih rasional harus dibuat kerajaan meskipun sudah berjanji akan mengekalkan artikel 153 yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami mahu penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Waytha Moorthy yang membangkitkan isu ini. Mereka janji mahu kekalkan beberapa perlembagaan tetapi pada masa sama mahu ICERD diratifikasi,” katanya pada sidang media selepas selesai membahaskan usul mengenai ICERD pada Persidangan Pertama DMJ di sini, hari ini.

Beliau berkata, tidak ada keperluan isu ICERD dikembangkan kerana ia bukan satu tuntutan yang diperlukan di peringkat antarabangsa.

Katanya, pihaknya hanya membawa suara orang muda dan tidak terpalit dengan mana-mana parti politik.

“Semua orang muda menolak (ICERD) kerana tidak mahu wujud sebarang tekanan dalam usaha menjaga Perlembagaan Persekutuan dan keharmonian negara,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan seharusnya memberi tumpuan mengenai kos sara hidup dihadapi rakyat.

Terdahulu, usul pertama Perwakilan DMJ14 itu disokong secara majoriti oleh Ahli DMJ yang menggesa kerajaan tidak meratifikasikan ICERD. Jawatankuasa Keselamatan, Undang-Undang, Integriti dan Antarabangsa membuat ketetapan bahawa DMJ membantah sebarang usaha meratifikasi ICERD.

Demi kepentingan awam, DMJ menggesa kerajaan mengambil kira pandangan awam, terutama orang Melayu dan Bumiputera sebelum meratifikasi ICERD, malah perlu merujuk pakar Perlembagaan dan perundangan non-partisan, objektif serta berwibawa berkenaan natijah dan kesan ICERD terhadap sistem perundangan Malaysia.

Selepas itu, ia hendaklah dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja, tanpa perkenan Majlis Raja-Raja, ICERD tidak boleh ditandatangani dan diratifikasi di Malaysia.

Perlembagaan memperuntukkan bahawa sebarang perkara yang menyentuh kedudukan istimewa Melayu dan anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Dewan Undangan Negeri terbabit.

Selain itu, ia perlu dibahaskan secara terbuka di Parlimen dengan penuh kejujuran tanpa berselindung berhubung implikasi sebenar terhadap peruntukan teras Perlembagaan, jika Malaysia meratifikasi ICERD.

Pada persidangan pertama kali membabitkan 50 perwakilan yang membahaskan pelbagai usul, DMJ menggesa semua pihak menghormati Perlembagaan Malaysia dan Kontrak Sosial yang dipersetujui semua pihak selain membawa tiga usul lain untuk dibentang dan dibahas, kesemua empat usul dijangka dapat dihabiskan dalam tempoh dua hari persidangan.

DMJ adalah inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bebas dan aktif iaitu Angkatan Demokrasi Milenials Bersekutu (MUDA) bertujuan melahirkan barisan pelapis kepemimpinan muda berkaliber dan berwibawa, berperanan sebagai platform orang muda menyuarakan idea melalui usul dan ketetapan yang dibuat.

Terdapat lima jawatankuasa dalam DMJ iaitu, Sosioekonomi; Keselamatan, Undang-Undang, Integriti & Antarabangsa; Pembangunan Masyarakat, Kesihatan, Prasarana dan Alam Sekitar; Kebudayaan, Sukan dan Keagamaan; Pendidikan, Teknologi dan Kerjaya; Pendidikan, Teknologi dan Kerjaya.

Berita Harian X